Sorting by

×

MBMB TAMBAH BAIK KAWASAN NIAGA PANTAI PUTERI DEMI KESELESAAN, KESELAMATAN

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 23 Oktober – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tampil memberi penjelasan berhubung isu berkaitan penjaja di Pantai Puteri seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya memandang serius terhadap isu tersebut, namun menjelaskan maklumat yang ditularkan telah disalah tafsir oleh pihak tertentu dan tidak menggambarkan situasi sebenar.

Menurut beliau, MBMB sentiasa menghargai sumbangan para penjaja yang telah lama berniaga di kawasan Pantai Puteri kerana kehadiran mereka turut menyumbang kepada daya tarikan pelancongan tempatan.

Namun, jelas beliau, bagi memastikan keselamatan, kebersihan dan susun atur kawasan sentiasa terjamin, MBMB perlu mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 70 (1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Pada 23 September 2025, satu notis telah dikeluarkan kepada pemilik struktur bagi tujuan penambahbaikan keselamatan bangunan dan penataan semula kawasan niaga. MBMB seterusnya mengeluarkan Surat Peringatan sebagai langkah susulan dan bukannya bertujuan menekan mana-mana pihak.

“Pada masa sama, MBMB telah mengenal pasti tapak penempatan baharu yang lebih sesuai berhampiran Menara Kawalan Pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Tapak ini dilengkapi kemudahan asas seperti tandas awam, kawasan parkir dan berhampiran Pentas Budaya Pantai Puteri bagi memastikan penjaja dan pengunjung menikmati suasana yang lebih selesa dan tersusun,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Shadan, bagi memperkemas operasi di kawasan tersebut, MBMB dengan sokongan rasmi Japerun Pantai Kundor (surat bertarikh 11 Ogos 2025) telah melantik Penganjur Penjaja Pantai Puteri untuk menyelaras kebersihan, keselamatan serta promosi kawasan tersebut.

Menurut beliau, langkah itu bukan untuk menggantikan peranan penjaja, tetapi bagi memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan potensi ekonomi setempat.

“Pihak penganjur juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti FAMA, syarikat korporat dan jabatan kerajaan bagi melaksanakan aktiviti latihan, bimbingan, serta program keusahawanan penjaja.

“Antara program yang bakal dilaksanakan termasuk karnival makanan, jualan muhibah, serta aktiviti kebudayaan bagi menarik lebih ramai pengunjung dan memperkukuh imej Pantai Puteri sebagai destinasi pelancongan keluarga di Melaka,” ujarnya.

Shadan berkata, MBMB menzahirkan komitmen penuh untuk terus berbincang dengan penjaja dan pihak penganjur secara harmoni.

Ujar beliau, segala tindakan yang diambil adalah berpaksikan undang-undang, namun tetap memberi ruang kepada penyelesaian secara berhemah dan berpihak kepada kepentingan rakyat.

“MBMB percaya bahawa kerjasama erat antara penjaja, penganjur dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memastikan Pantai Puteri kekal sebagai destinasi pelancongan yang bersih, selamat, berdaya saing dan memberi manfaat kepada semua pihak,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

558
Kongsi :
Previous post MELAKA SASAR 90 PERATUS KEPUASAN RAKYAT MENJELANG 2026
Next post MELAKA HAB BAHARU LATIHAN, PENYELENGGARAAN PENERBANGAN SERANTAU