
MELAKA ANGKAT SEMANGAT PELANCONGAN BUDAYA
DUYONG 25 Oktober – Meraikan kepelbagaian seni, budaya, selain warisan Selat Melaka menjadi antara keunikan yang dibawa pada Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka 2025 yang sedang berlangsung di Dataran Pengkalan Rama sehingga Ahad.
Festival selama tiga hari itu membawa tema ‘Mulanya Di Sini’: Pertemuan Budaya Dunia dengan pengisian lebih 30 program menarik kepada pengunjung dan pelancong.
Kedua-dua festival itu turut mengangkat semangat ‘Pelancongan Budaya’ dengan menonjolkan Sungai Melaka sebagai simbol diaspora komuniti perdagangan timur dan barat yang berasimilasi dengan budaya tempatan.
Selain itu, ia juga menekankan kepentingan melestarikan warisan budaya sebagai jambatan perpaduan antara kaum, memperkukuh jati diri bangsa, serta menjunjung Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau.
Pada masa sama, festival itu turut memartabatkan Selat Melaka sebagai pusat pertemuan budaya dunia sejak lebih 500 tahun dahulu.
Majlis perasmian festival berkenaan telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Malam Lestari Seni Budaya.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka Mohd Radzi Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris; Pengarah JKKN Negeri Melaka Ezlina Alias serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, Malam Lestari Seni Budaya itu menampilkan lima segmen persembahan berbentuk muzikal yang menggabungkan seni rantau Selat Melaka dengan menampilkan beberapa artis popular tanah air seperti Datuk Syafinaz Selamat, Zubir Khan, Aisya Retno, Roslan Madun dan ramai lagi.
/END
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


