Melaka bakal dapat balai bomba baharu

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 19 Mei – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal membuat permohonan untuk membina sebuah lagi balai bomba baharu di Negeri Melaka.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, balai bomba baharu itu dicadangkan akan dibina di Banda Hilir dengan anggaran kos RM5 juta.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi menaik taraf Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah di Jalan Kubu pada tahun ini.

“KPKT mempunyai kayu pengukur mengikut risiko kebakaran bagi pembinaan sesebuah balai bomba baharu.

“Di mana kita dapati ada keperluan, kita akan bina dan spesifikasi setiap balai bomba itu juga berbeza mengikut gred sama ada A, B, C atau D mengikut risiko sesuatu kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Larian Bersama Bomba 2024 Malaysia Madani di perkarangan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha KPKT Datuk Wira M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.

Yang turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Menurut beliau, setakat ini, terdapat 337 buah balai bomba di seluruh negara yang mana mengikut keperluan, terdapat 84 buah lagi balai bomba perlu dibina termasuk di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, ujar beliau, pembinaan itu akan dilakukan secara berfasa mengikut kedudukan kewangan negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

156
Kongsi :
Previous post Bomba buka pengambilan 509 anggota baharu
Next post Dua anak muda rangkul johan Anugerah Perdana Belia Melaka
Ubah saiz-+=