Sorting by

×

Melaka bakal perkenal 10 pelancongan kulinari unik

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 19 Januari – Kerajaan Negeri bakal memperkasakan sektor pelancongan kulinari dengan memberikan pengiktirafan kepada 10 Produk Pelancongan Kulinari Unik yang terdapat di Melaka.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pengiktirafan itu sebagai usaha untuk memperkasakan sektor terbabit dalam memberi nilai tambah kepada kepelbagaian yang terdapat di negeri ini.

Katanya, kesemua 10 pengusaha produk pelancongan kulinari unik yang terpilih itu juga akan diberikan insentif sebagai sokongan dan dokongan daripada Kerajaan Negeri.

“Kita memilih 10 Produk Pelancongan Kulinari Unik ini berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan seperti keunikan, harga yang diletakkan berpatutan, kebersihan restoran, tarikan dan impak produk itu serta tindak balas daripada masyarakat.

“Dan restoran yang menyajikan makanan asli Negara Sepanyol iaitu Salud Tapas yang telah beroperasi hampir tujuh tahun di Melaka ini juga antara 10 yang terpilih.

“Untuk sembilan produk lain, kita akan maklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali merasmikan Majlis Penyerahan Anugerah ‘Restoran Sepanyol’ oleh Timbalan Duta Sepanyol, Santiago Lozano kepada Restoran Salud Tapas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Sa’ari Basiron serta Kaunselor Ekonomi dan Komersial Kedutaan Sepanyol, Ines Perez – Durantez.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, bagi pelancong bukan beragama Islam, restoran tidak halal itu turut menyajikan makanan asli masyarakat Sepanyol.

“Seperti kita tahu, pengunjung atau pelancong di Melaka ini bukan semuanya beragama Islam, dan bagi meraikan kepelbagaian itu, kita mengangkat restoran ini untuk diletakkan dalam pemetaan pelancongan Melaka.

“Antara faktor kenapa kita memilik restoran ini adalah, kerajaan Sepanyol sendiri memberi pengiktirafan kepada restoran ini berdasarkan beberapa kriteria dan antara kriteria yang dikongsikan adalah, keunikan gabungan makanan tempatan dan Sepanyol,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2726
Kongsi :
Previous post Bunga api RM2 juta warnai langit Selat Melaka
Next post Khidmat bot pelancong Paya Lebar perlu diperbanyakkan
Ubah saiz-+=