Khidmat bot pelancong Paya Lebar perlu diperbanyakkan

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER LIMAU 19 Januari – Perkhidmatan bot pelancong di Pusat Ecotourism Paya Lebar perlu diperbanyakkan dalam menarik kehadiran lebih ramai pelancong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pihaknya sedang berusaha bagi memastikan perkhidmatan itu menepati kehendak pelancong berikutan pada ketika ini, perkhidmatan itu masih kurang disediakan di jeti yang telah dibina.

Rentetan itu, katanya, usaha menyediakan kursus bagi mendapatkan lesen perkhidmatan bot pelancong sedang diusahakan secara berperingkat dalam memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

“Sebelum ini, seramai 22 nelayan di kawasan ini diberikan pendedahan kursus bagi mendapatkan lesen untuk menyediakan perkhidmatan bot pelancong atau dikenali sebagai ‘Malim’ di kawasan ini.

“Malah program penyerahan bantuan bot ke atas 11 orang nelayan di Dun ini juga telah dilaksanakan dengan nilai sumbangan hampir RM15,000 seorang sebagai langkah awal memperkasakan perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Ecotourism Paya Lebar, di sini, hari ini.

Jelas Hameed, kekurangan khidmat bot pelancong yang disediakan di kawasan itu adalah disebabkan rata-rata nelayan di kawasan itu tidak mempunyai lesen khas membawa pelancong, sebaliknya hanya memiliki lesen menangkap ikan.

“Kawasan ini kita dapati banyak bot-bot nelayan tetapi bot ini hanya diluluskan sebagai bot menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan perikanan.

“Malah bagi bot penumpang atau pelancong tidak banyak disediakan sehinggakan kadangkala terpaksa menyewa dari rakan-rakan nelayan di Negeri Sembilan.

“Jadi kita berharap agar nelayan dan pihak kita bekerjasama untuk membangunkan Paya Lebar dengan menyediakan lebih banyak perkhidmatan bot pelancong pada masa akan datang dan seterusnya menerima impak limpahan ekonomi dari sektor pelancongan yang sedang dibangunkan kerajaan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2203
Kongsi :
Previous post Melaka bakal perkenal 10 pelancongan kulinari unik
Next post Fahmi ucap tahniah kepada Suhaimi sebagai Ketua Pengarah Penyiaran baharu
Ubah saiz-+=