Sorting by

×

MELAKA BANTU KELANGSUNGAN PERNIAGAAN USAHAWAN MIKRO, KECIL

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERI NEGERI 23 Julai – Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM200,000 bagi menyokong kelangsungan perniagaan golongan usahawan mikro dan kecil di negeri ini menerusi Bajet 2024 Negeri Melaka.

Menurut Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin, bantuan kewangan itu disalurkan secara ‘one-off’ kepada 67 usahawan yang layak di negeri ini.

“Bantuan sehingga RM3,000 setiap penerima ini diagihkan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), sebagai langkah meringankan beban usahawan kecil dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi serta cabaran pasca pandemik.

“Bantuan itu melibatkan usahawan dari 27 DUN melibatkan daerah Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah, manakala DUN Serkam menjadi satu-satunya kawasan yang tidak mencatatkan sebarang penerima.

“Antara kawasan yang menerima jumlah kelulusan tertinggi adalah Paya Rumput iaitu seramai lima penerima (RM15,000), Asahan tiga penerima (RM8,910), Pengkalan Batu tiga penerima (RM8,970), Duyong seramai tiga penerima (RM8,900), Rim seramai dua penerima (RM5,920) dan Merlimau seramai dua penerima (RM5,800),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai) pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Allex berkata, usaha ini sebahagian daripada agenda pembangunan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi, khususnya dalam memastikan perniagaan kecil mampu bertahan dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar.

“Pada tahun ini Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa e-dagang dalam kalangan usahawan di luar bandar melalui Portfolio Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

“Inisiatif ini bakal membuka ruang lebih besar kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka secara dalam talian, serta memberi peluang bersaing di peringkat yang lebih luas tanpa halangan geografi.

“Ia juga dijangka mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, merangsang ekonomi setempat dan meningkatkan daya saing usahawan luar bandar, yang dilihat mempunyai potensi besar dalam pasaran digital,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

227
Kongsi :
Previous post RAKYAT MELAKA JANGAN TERPEDAYA ‘SCAMMER’ POLITIK
Next post MELAKA CETUS PELANCONGAN SEBAGAI INDUSTRI BAHARU