Sorting by

×

MELAKA-BELANDA PERKUKUH PERSAHABATAN, IKATAN WARISAN

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDA HILIR 2 Ogos – Melaka dan Belanda terus komited memperkukuh jalinan kerjasama dalam bentuk pertukaran budaya serta warisan menerusi penganjuran Malakka Dutch Festival yang kini menjadi salah acara pelancongan berprestij di bumi bersejarah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, festival berkenaan merupakan satu peluang yang amat bermakna untuk mengenang hubungan berpanjangan bermula dari era penjajahan sehinggalah kini berkembang menjadi satu simbol persahabatan erat dan rasa hormat yang mendalam.

Beliau berkata, sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan Kedutaan Belanda bagi penganjuran festival itu sejak tahun 2016 bukan sahaja memperkaya landskap budaya Melaka, bahkan memperkukuh lagi hubungan persefahaman serta kerjasama antara kedua-dua negara.

“Kerajaan Negeri Melaka menyokong penuh penganjuran festival ini kerana ia selari dengan visi kami untuk menjadikan Melaka bukan sekadar sebuah bandar bersejarah, malah sebagai hab dinamik diplomasi budaya.

“Menuju masa hadapan, kami terus komited untuk menjadikan pemeliharaan warisan sebagai sebahagian agenda penting pembangunan negeri lestari dan bagi kami, warisan bukan sekadar kenangan silam, tetapi asas kepada identiti, ketahanan, dan pertumbuhan.

“Dengan kerjasama erat berterusan antara Kerajaan Negeri, rakan antarabangsa serta komuniti tempatan, saya yakin festival ini akan terus berkembang menjadi antara acara budaya paling terserlah dan berprestij di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Malakka Dutch Festival 2025 di Muzium Rakyat, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin.

Hadir sama, Duta Besar Belanda Ke Malaysia Jacques Werner bersama isteri; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, Malakka Dutch Festival 2025 yang berlangsung 21 Julai hingga 3 Ogos berlangsung meriah dengan pelbagai program menarik, termasuk persembahan kebudayaan, pameran warisan serta aktiviti interaktif yang sesuai untuk semua lapisan umur.

Menurut beliau, antara kelainan dan acara tumpuan yang dibawakan pada edisi kali ini adalah Explorace yang telah mendapat sambutan hangat, dengan menawarkan hadiah utama bernilai RM2,000.

“Saya juga amat gembira dengan penglibatan lebih 500 peserta dari komuniti tempatan dan juga pengunjung serta pelancong.

“Penyertaan yang menggalakkan ini mencerminkan sifat inklusif festival ini dan peranannya dalam menyatukan masyarakat melalui perkongsian budaya bersama,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

402
Kongsi :
Previous post PAMERAN PANGLIMA AWANG DI MELAKA PADA SEPTEMBER INI
Next post MELAKA JEMPUT BELANDA MERIAHKAN WTD 2025