
MELAKA BILA LARUT MALAM: HADIAH ISTIMEWA BUAT PENGUNJUNG MELAKA RIVER CRUISE
BANDARAYA MELAKA 1 Ogos – Bersempena Melaka Bila Larut Malam edisi Ogos, malam esok, pengunjung Melaka River Cruise berpeluang menerima hadiah istimewa.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, tawaran itu adalah tanda penghargaan buat pengunjung yang sentiasa menyokong Melaka River Cruise.
“Untuk Melaka Bila Larut Malam kali ini ia lebih istimewa berbanding penganjuran sebelum ini kerana selain membayar tiket serendah RM10 sahaja, pengunjung juga akan ditawarkan hadiah istimewa seperti baucar diskaun.
“Di pihak PPSPM kami sedang berhubung dengan pasar raya besar untuk bekerjasama supaya mereka juga dapat turut serta.
“Oleh itu apabila datang menaiki Melaka River Cruise kali ini, pengunjung bukan sahaja dapat untuk menikmati pelayaran indah Sungai Melaka pada waktu malam, bahkan turut menerima pelbagai keistimewaan lain,” katanya.
Menurutnya, inisiatif dibuat PPSPM itu juga bagi meraikan sokongan tidak putus-putus pengunjung dan pelancong dalam merancakkan sektor pelancongan Melaka.
“Di pihak PPSPM kami sentiasa cuba membawa kelainan untuk MBLM agar pengunjung dapat merasai pengalaman menarik bersama keluarga mahupun rakan-rakan,” katanya.
Penganjuran Melaka Bila Larut Malam edisi Ogos akan berlangsung esok dengan tawaran tiket kemasukan RM10 ke beberapa produk pelancongan terpilih di Melaka.
Tawaran itu diberikan bermula jam 11 malam hingga 2 pagi dan antara yang menyertai MBLM adalah Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Zoo Melaka yang bermula lebih awal pada jam 9 malam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.