MELAKA BUKAN BUMI FITNAH – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 24 Oktober – Melaka bukan bumi fitnah, sebaliknya negeri ini mengamalkan politik santun, harmoni dan menjunjung silaturahim dalam usaha membina negeri serta menjaga kebajikan rakyat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan politik kebencian, fitnah dan perpecahan tidak pernah menjadi budaya sepanjang usaha membangunkan negeri ini.

Beliau berkata, Melaka terus menjadi negeri yang mengutamakan keharmonian serta hubungan baik antara semua pihak tanpa mengira perbezaan politik.

“Kita tidak buat politik kebencian, politik fitnah atau perpecahan. Kita menjalankan urusan secara harmoni, menjalin silaturahim dengan semua dalam membina Melaka yang begitu santunnya kepada rakyat Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Negeri Melaka yang disempurnakan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr. Loga Bala Mon; Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung Barisan Nasional Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, pendekatan itu selari dengan usaha BN untuk terus membina Melaka menerusi hubungan baik bersama rakyat serta memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dalam suasana harmoni.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

273
Kongsi :
Previous post SEMANGAT ‘GELOMBANG BIRU’ GEGAR MITC
Next post BN MELAKA TELAH LAKSANA SEMUA MANIFESTO 2021