Melaka cadang anjurkan pameran mini MAHA

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERDANG 9 Ogos – Kerajaan negeri berhasrat menganjurkan mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di Melaka bagi memperluaskan produk hasil keluaran usahawan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, cadangan itu diadakan juga bagi mengangkat produk baharu negeri ini untuk diketengahkan ke pasaran dengan lebih meluas.

Beliau berkata, Mini Maha yang diadakan itu mampu memberi peluang usahawan Melaka mempromosikan produk mereka selain menggamit pelancong untuk ke negeri ini.

“Kita harap kita akan buat lagi satu Pavillion seperti ini (MAHA) di tempat yang bersesuaian untuk kita anjurkan (pameran) mini MAHA di Melaka.

“Ia mampu menarik pengunjung dan peniaga untuk datang mempromosikan produk mereka malah jika ada usahawan yang luar dari Melaka pun kita berikan peluang ini.

“Setakat ini kita sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai serta peruntukan yang ada mengikut keperluan daripada kewangan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang mengetuai delegasi kerajaan negeri mengunjungi di Pavillion Melaka di Maha 2022, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman turut mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan untuk menyemak semula penganjuran Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) beberapa tahun dahulu supaya memastikan program itu dianjurkan semula.

Ujarnya, ia juga merupakan medan untuk membantu usahawan mempromosikan produk yang dihasilkan di negeri ini sekali gus mampu mengintai peluang bagi meluaskan perniagaan mereka.

“Seperti dahulu SDSI dianjurkan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) telah menerima sambutan pengunjung yang cukup menggalakkan malah kita menerima kunjungan daripada pelancong-pelancong luar.

“Kita harap kerajaan Persekutuan mampu hidupkan semula SDSI yang dahulunya setiap kali pernah dianjurkan di MITC,” katanya.

Views:

1916
Kongsi :
Previous post Melaka kutip hampir RM70,000 jualan di MAHA 2022
Next post Beberapa pelajar SMK Melor cedera akibat tangki air pecah
Ubah saiz-+=