Melaka kutip hampir RM70,000 jualan di MAHA 2022

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

SERDANG 9 Ogos – Melaka merekodkan hasil jualan sebanyak RM68,780 selepas enam hari pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, hasil jualan itu menunjukkan perkembangan positif apabila Pavilion Melaka menerima lebih 10,000 pengunjung sejak pameran itu beroperasi sejak 4 Ogos lalu.

Katanya, jumlah itu sekali gus melepasi sasaran ditetapkan kerajaan negeri sebelum ini.

“Alhamdulillah, Melaka tidak ketinggalan untuk menyertai Maha 2022 sejak 2018 apabila empat tahun tidak dilaksanakan selepas pandemik COVID-19.

“Terima kasih kepada semua pihak terlibat terutama kepada kerajaan negeri Melaka yang bertungkus lumus membaik pulih Pavillion Melaka sejak tiga minggu sebelum pelaksanannya.

“Sehingga hari ini jumlah pengunjung yang datang mencecah 10,000 membabitkan jualan daripada 22 usahawan Melaka rentetan itu kita akan mensasarkan sebanyak 50,000 pengunjung yang akan datang dengan hasil jualan RM100,000 akan dicapai sebaik program ini tamat,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Pavillion Melaka di sini hari ini.

Terdahulu, Tun Mohd Ali yang hadir mengetuai delegasi kerajaan negeri sempat meluangkan masa melawat gerai pameran yang disediakan selepas ketibaannya di pekarangan Pavilion Melaka pada jam 11.30 pagi tadi.

Ia turut dihadiri, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum, Timbalan Speaker, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Hadir sama, Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin, Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Pengurusan Banjir dan Infrastruktur negeri, Datuk Rahmad Mariman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Adun Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis.

Turut serta, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka Hairudin Yunos, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu, serta tetamu lain.

Dalam pada itu Sulaiman berkata, pelbagai tarikan utama termasuk memperkenalkan produk pelancongan baharu disediakan di Pavillion Melaka.

“Pelbagai produk baharu disediakan di kawasan ini termasuk tarikannya iaitu acara Silat Kelapa Lambung juga telah mencuri perhatian pengunjung untuk datang ke sini.

“Sebanyak tiga kepelbagaian persembahan termasuk persembahan kebudayaan lain disediakan buat pengunjung datang ke Pavilion Melaka,”katanya.

Views:

1242
Kongsi :
Previous post Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022
Next post Melaka cadang anjurkan pameran mini MAHA
Ubah saiz-+=