
MELAKA CADANG BERI DISKAUN UNTUK OKU BELI RUMAH
BANDARAYA MELAKA 1 Ogos – Melaka bercadang untuk memberikan insentif khas berupa diskaun kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk membeli rumah pertama, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Beliau berkata, cadangan itu merupakan idea yang digagaskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam menjaga kebajikan dan membantu golongan sasar di negeri ini memiliki kediaman sendiri.
Jelas beliau, hasrat tersebut telah dibincangkan bersama semua pihak terlibat dalam portfolio perumahan, termasuk Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Negeri Melaka.
“Perbincangan mengenai cadangan diskaun kepada golongan OKU untuk membeli rumah ini mendapat reaksi positif daripada semua yang terlibat.
“Namun perincian mengenai jumlah diskaun dan mekanismenya akan diumumkan tidak lama lagi oleh Ketua Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri merasmikan Ekspo Perumahan dan Hartanah (MAPEX) Negeri Melaka 2025 di sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin; Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ngoh Chun How dan Pengerusi Penganjur MAPEX Melaka 2025 Datuk Sonny Tay Chor Han.
Menurut Rais, sektor hartanah Melaka kini berada pada landasan tepat dengan dasar-dasar yang membantu rakyat memiliki rumah sendiri, antaranya, mewajibkan pembangunan perumahan melebihi 4.04 hektar (10 ekar) memperuntukkan 10 peratus pembinaan Rumah Kos Rendah (RKR).
Selain itu, katanya, Melaka turut merekodkan harga rumah purata paling rendah di Malaysia menurut Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) iaitu pada kadar RM245,067, jauh lebih rendah berbanding purata nasional iaitu RM486,070.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.