Sorting by

×

Melaka cadang beri kelonggaran dua tahun pekerja asing menginap di taman perumahan

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BANDA HILIR 11 Jun – EXCO Tenaga Kerja Negeri Ngwe Hee Sem akan mencadangkan kepada kerajaan negeri agar memberi kelonggaran selama dua tahun untuk pekerja asing tinggal di kawasan perumahan awam.

Katanya, cadangan itu diusulkan hasil Mesyuarat Post-Exco baru-baru ini, berikutan negeri ini masih belum bersedia untuk mewujudkan kuarters pekerja berpusat (central labour quarter – CLQ) dalam masa terdekat.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu masih di peringkat cadangan dan akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan kelulusan.

“Buat masa ini Melaka masih belum sedia untuk membangunkan CLQ, jadi kita cadangkan untuk beri kelonggaran selama dua tahun kepada pekerja asing ini untuk tinggal di kawasan perumahan seperti rumah teres, rumah kedai dan sebagainya.

“Namun, ini hanyalah cadangan kerana kita sedang dalam usaha membangunkan CLQ di Ayer Keroh bagi membolehkan syarikat atau pengilang menyewakan kuarters berkenaan untuk pekerja asing tinggal secara berpusat.

“Kita ada dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi sebelum tahun 2035 yang mana saya percaya perkara ini dapat diselesaikan sebelum tempoh itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sebuah restoran tular di Banda Hilir, hari ini.

Sebelum ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menetapkan semua pekerja asing tidak dibenarkan tinggal di taman perumahan bermula tahun 2025 dan perlu menetap di CLQ yang ditetapkan di setiap negeri.

Hee Sem berkata, kerajaan negeri kini sedang menyiapkan sebuah CLQ di Ayer Keroh yang mampu menempatkan kira-kira 8,000 unit kediaman kepada pekerja asing.

Justeru, beliau berharap beberapa lagi CLQ akan dibina di setiap daerah sebelum tahun 2025 bagi menjamin ketenteraman awam khususnya mereka yang tinggal di taman perumahan.

“Memang benar, sebelum ini banyak aduan diterima antaranya kes tinggal bersesak sehingga 15-20 orang satu rumah, mabuk, mandi di depan rumah dengan hanya berseluar dalam, bergaduh dan lain-lain.

“Jadi, kita akan sedaya upaya menyelesaikan CLQ ini untuk memastikan masalah dan aduan yang diterima sebelum ini dapat diselesaikan.

“Dan jika kerajaan negeri memberi kelonggaran sementara dua tahun itu, saya harap majikan dapat membuat lawatan secara berkala di rumah pekerja bagi memastikan tiada isu timbul dan mematuhi syarat-syarat Jabatan Sumber Manusia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1219
Kongsi :
Previous post EXCO nasihat pengusaha restoran viral jangan amalkan budaya ‘kahau’
Next post 1,028 pusat jagaan tidak berdaftar di Malaysia
Ubah saiz-+=