
HARI KESIHATAN DUN KESIDANG MERIAH
KESIDANG 11 Jun – Pelbagai inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan lagi tahap kesedaran orang ramai berhubung kepentingan penjagaan kesihatan, sekali gus mengesan dan mencegah penyakit pada peringkat lebih awal.
Usaha dilaksanakan itu juga semakin mendapat sambutan apabila lebih 200 orang hadir bagi menjalani saringan kesihatan dan mendapatkan maklumat berhubung pelbagai jenis perkhidmatan seperti pemeriksaan mata dan gigi disediakan untuk mereka pada penganjuran Hari Kesihatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata, penganjuran itu adalah antara pengisian disusun bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
“Penganjuran ini dianggap berkesan berdasarkan kepada jumlah pengunjung yang hadir, majoriti adalah dalam kalangan warga emas. Aktiviti saringan kesihatan dijayakan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan klinik swasta.
“Selain kaedah perubatan moden kita juga bawakan perawat tradisional (tabib) untuk turut serta dalam program kali ini,” katanya ketika ditemui pada Hari Kesihatan DUN Kesidang sempena program WRUR di Kompleks Japerun Kesidang, hari ini.
Allex yang juga Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, bersempena program sama 10 pengunjung bertuah menerima sumbangan cermin mata percuma manakala MediPulih pula memberikan Kad Rahmah kepada penerima terpilih.
“Hasil sumbangan disampaikan ini ia secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kesihatan diri dan meringankan beban perbelanjaan rakyat.
“Melihat kepada sambutan positif kita mempertimbangkan untuk mengadakan program ini secara lebih kerap bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan serta menggalakkan amalan hidup sihat,” katanya.
Jelasnya, selain program kesihatan percuma turut diadakan program potong rambut percuma dan Juala Rahmah Madani.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


