Melaka capai 95 peratus akujanji satu tahun – KM

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

SERI NEGERI 19 Disember – Melaka telah berjaya mencapai 95 peratus inisiatif akujanji satu tahun pentadbiran Kerajaan Negeri, umum Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Menurut Sulaiman, inisiatif setahun itu merangkumi 26 inisiatif dan ia dipantau menerusi sistem Melaka Laksana.

“Manakala baki 5 peratus lagi masih dalam proses pelaksanaan dan Insya-Allah, akan dicapai sepenuhnya dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Tahun 2022 dan Majlis Pencapaian Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di Dataran Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ketua-ketua jabatan serta agensi.

Jelas Sulaiman, antara inisiatif setahun yang telah berjaya dicapai ialah menerusi empat teras iaitu lonjakan ekonomi baharu, tadbir urus kerajaan, masyarakat bersatu padu serta pembangunan mapan dan perkongsian kemakmuran.

Dalam teras lonjakan ekonomi baharu, Kerajaan Negeri telah berjaya mengupayakan sektor pertanian ke arah kemodenan dengan mewujudkan Lembah Pertanian Bandar yang memfokus kepada ‘urban dan vertical farming’.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM300,000 bagi melaksanakan kajian perikanan rekreasi laut dalam di perairan Melaka bertujuan untuk meningkatkan pendapatan anak nelayan dengan membawa pemancing berekreasi di laut, selain menjadi penanda aras stok ikan di perairan Melaka.

Ujar Sulaiman, bagi teras 3 iaitu tadbir urus kerajaan pula, Kerajaan Negeri telah meluluskan dasar bagi Cadangan Semula Melaka Land Rules (MLR) 1966 Tahun 2022 berkaitan pindaan bagi memudahkan urusan urus niaga tanah.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut membuat penyeragaman Undang-Undang Kecil (UUK) sedia ada di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memudahkan urusan permohonan lesen perniagaan.

Bagi teras keempat iaitu masyarakat bersatu padu, pelbagai inisiatif telah berjaya dicapai antaranya menyediakan kemudahan ambulans pecuma, menyediakan dana dan peralatan perniagaan kepada belia, wifi percuma, bina dewan Orang Asli, naik taraf Pusat Latihan OKU Melaka (PULAKOM) dan lain-lain lagi.

Manakala untuk teras 5, Sulaiman memaklumkan antara inisiatif yang dilaksanakan adalah seperti memastikan perkhidmatan utiliti dan kemudahan awam di tahap terbaik, selain mementingkan aspek kelestarian alam sekitar dan ekosistem di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1720
Kongsi :
Previous post JPS ramal banjir di Sungai Melikai, Mersing tengah hari ini
Next post Pahang negeri terbaharu dilanda banjir, Terengganu dan Kelantan rekod mangsa teramai
Ubah saiz-+=