Pahang negeri terbaharu dilanda banjir, Terengganu dan Kelantan rekod mangsa teramai

Masa Membaca:2 Minit, 41 Saat

KUALA LUMPUR 19 Dis – Pahang menjadi negeri terbaharu dilanda banjir menjadikan lima negeri kini terjejas banjir selepas Terengganu, Perak, Kelantan dan Johor, setakat pagi ini.

Terengganu dan Kelantan merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir teramai pagi ini, berbanding malam tadi manakala jumlah mangsa di Johor dan Perak kekal.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan seramai 40 mangsa banjir daripada 13 keluarga berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Pia, Raub pada pagi ini.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Keratong di Rompin melebihi paras bahaya manakala Sungai Lipis di Batu Malim, Raub dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran direkodkan pada paras amaran.

Jabatan Meterologi meramalkan kebanyakan daerah di Pahang termasuk Raub akan mengalami hujan pada pagi dan petang ini.

Di TERENGGANU, situasi banjir semakin buruk apabila jumlah mangsa terlibat meningkat dengan mendadak kepada 11,415 orang daripada 3,326 keluarga, berbanding 3,785 orang daripada 1,068 keluarga malam tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, setakat ini sebanyak 174 PPS telah dibuka di tujuh daerah di negeri ini iaitu di Besut (65 PPS); Hulu Terengganu (45 PPS); Setiu (38 PPS); Kemaman (12 PPS); Dungun (11 PPS); Marang (dua PPS); dan Kuala Terengganu (satu PPS).

Setakat ini, Hulu Terengganu merupakan daerah yang paling terjejas dengan merekodkan 3,998 mangsa daripada 1,276 keluarga; Besut 3,765 mangsa (1,040 keluarga); Setiu 2,157 mangsa (632 keluarga); Kemaman 1,008 mangsa (277 keluarga); Dungun 355 mangsa (84 keluarga); Marang 119 mangsa (14 keluarga); manakala Kuala Terengganu 13 mangsa (tiga keluarga).

Di KELANTAN, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,645 orang daripada 2,586 keluarga pagi ini, berbanding 5,642 orang daripada 1,679 keluarga malam tadi melibatkan sebanyak 80 PPS dibuka di sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Berdasarkan laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, enam sungai utama melepasi paras bahaya termasuk Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 38.29 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (24.59 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.61 m).

Di JOHOR, JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di daerah Segamat kekal 75 orang setakat 8 pagi ini dengan kesemua mangsa yang terdiri daripada 21 keluarga itu masih ditempatkan di tiga PPS yang beroperasi, setakat ini.

Seramai 34 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 27 orang masih berada di Balai Raya Kampung Kuala Paya, manakala di Dewan Komuniti Kampung Tasek menempatkan 14 mangsa.

“Kesemua mangsa adalah penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya,” katanya.

Menurut JPBN paras air di tiga lembangan sungai di negeri ini, berada di paras amaran iaitu Sungai Muar, Buluh Kasap di Segamat menunjukkan bacaan 8.87 m, Sungai Lenik, Ladang Chaah di Segamat (5.76 m) dan Sungai Endau, Kampung Labong di Mersing (1.66 m).

Di PERAK pula, mangsa banjir kekal 49 orang daripada 16 keluarga melibatkan dua PPS iaitu di Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4, Teluk Intan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat, Selekoh.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1732
Kongsi :
Previous post Melaka capai 95 peratus akujanji satu tahun – KM
Next post PSMJ2035 capai prestasi lebih 90 peratus pada 2022 – KM
Ubah saiz-+=