Melaka catat pelaburan RM2.9 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama 2022

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka berjaya merekodkan pelaburan berjumlah RM 2.9 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, jumlah itu direkodkan membabitkan hasil daripada 47 projek pelaburan yang diluluskan bermula Januari hingga Mac 2022.

Beliau berkata, setakat Mac tahun ini sahaja, Melaka berada di kedudukan ke-5 dalam pelaburan bagi sektor pembuatan di seluruh Malaysia selain projek pelaburan yang diluluskan telah mewujudkan 610 peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka.

“Daripada jumlah itu RM2.2 bilion adalah pelaburan asing manakala bakinya RM 0.7 bilion pula adalah pelaburan tempatan.

“Pada suku pertama 2022, sektor pembuatan iaitu elektrik dan elektronik adalah sektor tertinggi yang paling mendapat permintaan pelabur dengan menyumbang pelaburan sebanyak RM 2.2 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Taat Setia pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2022 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-73 Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat, hari ini.

Menurut beliau, meskipun negara masih berdepan dengan kesukaran ekonomi global, namun ekonomi Melaka tetap tumbuh berkembang positif apabila KDNK Melaka pada 2021 mencatatkan pertumbuhan 2.9 peratus.

“Sektor perkhidmatan dan pembuatan mendominasi struktur ekonomi Melaka yang masing-masing menyumbang sebanyak 48.8 peratus dan 37.9 peratus.

“Sektor pertanian pula menyumbang sebanyak 10.9 peratus manakala sektor pembinaan menyumbang 2.1 peratus dan diikuti sektor perlombongan serta pengkuarian dengan kadar 0.3 peratus kepada ekonomi Melaka,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, kadar pengangguran Melaka pada 2021 pula mencatatkan kedudukan kedua terendah selepas Putrajaya iaitu 2.0 peratus berbanding peringkat nasional pada kadar 4.6 peratus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2815
Kongsi :
Previous post Tun Mohd Ali cadang Melaka tambah baik mutu pengangkutan awam
Next post Rakyat Melaka perlu didedahkan dengan pertanian moden
Ubah saiz-+=