Tun Mohd Ali cadang Melaka tambah baik mutu pengangkutan awam

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Mutu pengangkutan awam di negeri ini perlu ditambah baik sebagai sebuah negeri pelancongan, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Menurut beliau, selain mutu perkhidmatan, kerajaan negeri juga dicadang untuk mempelbagaikan mod pengangkutan di negeri ini bagi menarik minat orang ramai menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan.

“Pemerhatian saya, kebanyakan pelancong cenderung memilih menaiki kenderaan sendiri. Oleh yang demikian, kerajaan negeri perlu menarik minat orang ramai menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan dengan menambah baik mutu perkhidmatan ditawarkan.

“Justeru saya mencadangkan agar kebolehcapaian pelbagai mod pengangkutan khasnya pengangkutan awam ditambah baik supaya semua lapisan masyarakat termasuk kemudahan warga emas, ibu mengandung dan anak-anak dapat diberi perhatian.

“Selain itu, jumlah laluan dan frekuensi bas dapat ditingkatkan agar tempoh menunggu dan akses laluan lebih relevan sesuai dengan kehendak pengguna.

“Pihak Panorama Melaka disaran untuk meningkatkan bilangan bas serta mencari peluang memudahkan akses kepada perkhidmatan penggunaan teknologi yang diintegrasi dengan perancangan perjalanan (journey planner) serta pembayaran digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2022 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-73 Tuan Yang Terutama di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Mengulas lanjut, Tun Mohd Ali turut mencadangkan agar pengangkutan mikro mobiliti dijadikan antara mod pengangkutan di negeri ini, sejajar dengan perubahan teknologi terkini.

Justeru, beliau berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus memudah cara penggunaan teknologi tersebut di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1932
Kongsi :
Previous post PM Ismail Sabri ketuai penerima Darjah Kebesaran Melaka
Next post Melaka catat pelaburan RM2.9 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama 2022
Ubah saiz-+=