Melaka dapat lima sekolah agama dalam tempoh dua tahun

Masa Membaca:2 Minit, 45 Saat

DUYONG 8 Disember – Sebanyak lima Sekolah Rendah Agama (SRA) telah berjaya dibina di Negeri Melaka sepanjang tahun 2020 hingga 2021.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, lima SRA itu ialah SRA Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Ayer Paabas, Alor Gajah; SRA JAIM Haji Shamsudin, Ujong Padang, Masjid Tanah; SRA JAIM Seri Duyong; SRA JAIM Bukit Larang, Telok Mas; dan SRA JAIM Air Merbau, Jasin.

Menurut beliau, kejayaan itu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri dengan bantuan Kerajaan Persekutuan dalam memperkasa pembangunan pendidikan agama di negeri ini.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi projek pembinaan beberapa bangunan baru Sekolah Rendah Agama JAIM yang telah dimasukkan dalam Senarai Projek RMK-12 Rolling Plan 3.

“Pada tahun ini juga, di bawah peruntukan khas Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melulus dan menyalurkan bantuan peruntukan bagi projek selenggara dan naik taraf 146 SRA JAIM di bangunan sendiri dengan peruntukan RM7.976 juta.

“Bagi pengurusan SRA JAIM, Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di bawah peruntukan Asnaf fi Sabilillah juga telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan tahunan kepada Sekolah-sekolah Agama JAIM termasuk Sekolah Rendah Agama, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Rendah dan Menengah serta Tadika JAIM, antaranya bantuan tuisyen, bantuan utiliti, bantuan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), bantuan perabot serta bantuan tahunan perkapita dengan jumlah keseluruhannya melibatkan peruntukan hampir RM1 juta.

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap usaha-usaha yang berkaitan dengan pembangunan Islam dan umatnya untuk mendapatkan akses kepada pendidikan agama. Begitulah juga keprihatinan Kerajaan dalam mewujudkan pembangunan seimbang, iaitu antara pembangunan material atau fizikal dengan pembangunan rohaniah atau spiritual,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama JAIM Seri Duyong di Kampung Permatang Duyong, di sini, hari ini.

photo1670474490
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berucap pada Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama JAIM Seri Duyong, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Upacara perasmian telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Datuk Wira Md Rawi Mahmud dan Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat.

Menurut Sulaiman, SRA JAIM Seri Duyong dibina di atas tanah rezab JAIM dengan kos berjumlah RM4.383 juta oleh Kerajaan Negeri.

Katanya, SRA dengan kapasiti 974 orang murid bagi dua sesi dengan jumlah 15 bilik darjah ini telah mula dibina pada 10 Disember 2018 dan telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada 4 Februari 2021, namun ia hanya beroperasi sepenuhnya pada 21 Mac lalu selepas tergendala akibat pandemik COVID-19.

Tambah Sulaiman, Melaka mampu membina lebih banyak SRA sekiranya ada kerjasama sinergi membabitkan tanah wakaf di satu-satu kawasan.

Ujarnya, ia tidak mustahil memandangkan terdapat sebahagian tapak SRA JAIM yang dibangunkan di negeri ini merupakan tanah wakaf yang diwakafkan oleh individu.

“Kejayaan merealisasikan pembinaan projek atas tanah wakaf wajar dijadikan contoh kepada pengurusan sekolah dan pemimpin setempat yang lain.

“Ini membuktikan bahawa sekiranya ahli kariah bekerjasama menggerakkan sinergi tanah wakaf, maka lebih banyak Sekolah Rendah Agama yang boleh dibangunkan mengikut kesesuaian dan keperluan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4125
Kongsi :
Previous post Jalan di P.Pinang ditutup sempena maraton Ahad ini
Next post Manfaatkan tanah wakaf untuk pembinaan SRA – KM
Ubah saiz-+=