
MELAKA DESTINASI BAHARU ROYAL BRUNEI, FLYDUBAI?
AYER KEROH 4 Mei – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan dua syarikat penerbangan terkemuka global menjadikan Melaka sebagai destinasi baharu untuk melebarkan perkhidmatan mereka.
Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, dua syarikat itu adalah Royal Brunei Airlines dan Flydubai dan cadangan tersebut dibangkitkan pada pertemuan yang diadakan bersempena lawatan kerja rasmi di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.
Beliau berkata, cadangan itu merupakan antara usaha memperkasa sektor pelancongan dengan memperluaskan jaringan laluan udara bersama destinasi global.
Tambahnya, beberapa penambahbaikan juga akan dilakukan, termasuklah mempermudah serta melancarkan proses visa untuk pengembara dengan penyelarasan yang akan dibuat bersama Kementerian Pengangkutan (MOT).
Selain Melaka, beliau memaklumkan, cadangan turut diberikan kepada Royal Brunei Airlines untuk melebarkan perkhidmatan mereka ke destinasi tambahan seperti Bintulu dan Johor Bahru.
Tambah King Sing, dalam pertemuannya bersama delegasi Tourism Malaysia dengan Flydubai, pihaknya turut menyatakan penghargaan untuk laluan terus Dubai–Pulau Pinang, selain turut mencadangkan Melaka sebagai destinasi baharu.
“Sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO, Melaka mempunyai potensi pelancongan yang besar melalui warisan dan budayanya yang kaya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Terdahulu, dalam lawatan kerjanya ke Dubai, King Sing telah merasmikan Pavillion Malaysia yang turut menyertai Arabian Travel Market (ATM) 2025.
Lawatan kerja itu turut disertai Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.