TAK PERLU JANJI TEMU, HEBAT MACAM ‘ONE STOP CENTRE’

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TANJUNG BIDARA 19 September – Tidak perlu menunggu janji temu atau mencari ruang untuk masuk ke pejabat kerajaan, sebaliknya hanya datang ke lokasi Program Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) dan terus bersemuka dengan pemimpin serta pegawai agensi berkaitan.

Itulah pengalaman dilalui bekas pemandu lori, Noor Hidayah Fazrianna Abdul Karim, 36, yang menyifatkan program HEBAT sebagai pendekatan yang benar-benar memudahkan golongan seperti dirinya menyampaikan masalah secara terus.

Katanya, kehadiran pelbagai jabatan dan agensi kerajaan dalam satu lokasi membolehkan rakyat mendapatkan penjelasan serta mengemukakan aduan tanpa perlu berulang-alik ke beberapa pejabat.

“HEBAT sangat-sangat bagus kerana semua pihak terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Zakat dan sebagainya ada di sini, macam ‘one stop centre’ semua tertumpu di sini.

“HEBAT ini juga rakyat boleh terus jumpa wakil-wakil rakyat untuk adukan masalah mereka tanpa protokol atau temu janji,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program HEBAT sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Pantai Tanjung Bidara, di sini, semalam.

Tambah Noor Hidayah Fazrianna, sebagai orang biasa yang sibuk dengan urusan pekerjaan, peluang untuk mendapatkan akses secara terus kepada pihak berkaitan amat bermakna.

Dia yang hadir ke program HEBAT bersama anaknya untuk mendapatkan bantuan berkaitan JKM dan berpeluang mengemukakan sendiri perkara tersebut kepada Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.

Menurutnya, sebelum ini rakyat mungkin melihat urusan dengan jabatan kerajaan sebagai sesuatu yang memerlukan beberapa peringkat dan mengambil masa, namun pendekatan turun padang seperti HEBAT memberi pengalaman berbeza.

“Bila semua ada di satu tempat, lebih mudah. Kita datang, beritahu masalah dan terus dapat penjelasan daripada pihak berkaitan.

“Alhamdulillah, kelulusan untuk anak saya menerima bantuan juga telah diberikan surat sokongan, terima kasih,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

289
Kongsi :
Previous post TOK RAUF TAK LUPA MASYARAKAT CINA, BANTU RAKYAT TANPA MENGIRA LATAR BELAKANG
Next post MELAKA BAKAL JADI MEDAN PERHIMPUNAN SENI SILAT NUSANTARA