‘Melaka Industrial Booster’ mudahkan urusan pelabur

Masa Membaca:57 Saat

SERI NEGERI 6 Mac – Kerajaan Negeri memperkenalkan ‘Melaka Industrial Booster’ (MIB) di bawah Invest Melaka Berhad bagi mempercepatkan lagi proses kelulusan permohonan pelabur atau pemaju.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, MIB akan memendekkan urusan permohonan daripada 12 kepada enam peringkat sahaja.

“Tempoh masa permohonan juga dikurangkan daripada 180 kepada 30 hari sahaja. MIB membolehkan proses permohonan kelulusan pelan pemajuan peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di percepatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan Usul Terima Kasih Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan Kerajaan Negeri sedang menyediakan kawasan industri baharu untuk menarik pelaburan berimpak tinggi bagi mewujudkan limpahan peluang pekerjaan.

“Antaranya MCORP Hi Tech Park yang bakal mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan; German Technology Park (5,000 peluang pekerjaan); Kawasan Perindustrian Elkay 2.0 (lebih 5,000 peluang pekerjaan); Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SMWEZ) yang membuka 5,000 peluang pekerjaan dan Pembangunan Pusat Industri Halal di Halal Hub Serkam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

692
Kongsi :
Previous post ‘Elevated U-Turn’ atasi kesesakan jalan raya
Next post 108,934 telah mendaftar PADU di Melaka
Ubah saiz-+=