Sorting by

×

MELAKA JEMPUT BELANDA MERIAHKAN WTD 2025

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDA HILIR 2 Ogos – Warga Belanda dijemput untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi percutian pada tahun ini memandangkan negeri bersejarah ini bakal menjadi tuan rumah kepada acara pelancongan terbesar dunia iaitu Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bukan itu sahaja, malah Melaka juga bakal menjadi tuan rumah kepada pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka, saya dengan penuh hormat menjemput semua rakan dari Belanda untuk kembali ke Melaka dan menjadi sebahagian daripada sambutan bermakna ini.

“Dengan sasaran 16 juta pelawat ke Melaka pada tahun ini, inilah masa terbaik untuk memperkukuh kerjasama antara Melaka dan Belanda melalui program kebudayaan, pameran serta inisiatif bersama yang menghormati sejarah kita dan membuka jalan untuk hubungan masa depan yang lebih erat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Malakka Dutch Festival 2025 di Muzium Rakyat, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin.

Hadir sama, Duta Besar Belanda Ke Malaysia Jacques Werner bersama isteri; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sokongan berterusan daripada Kedutaan Belanda dalam usaha mempromosikan Melaka ke persada dunia.

“Hubungan kerjasama ini amat penting dalam memperkukuh ikatan budaya serta membuka peluang baharu dalam bentuk jalinan kolaborasi dan pertukaran dalam pelbagai bidang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

492
Kongsi :
Previous post MELAKA-BELANDA PERKUKUH PERSAHABATAN, IKATAN WARISAN
Next post BIDANG TVET KINI JADI PILIHAN UTAMA PELAJAR