Melaka ‘laris’ di MATTA Fair

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KUALA LUMPUR 12 April – Pelancongan Melaka mendapat sambutan hebat pada MATTA Fair KL 2022 apabila mencatat jualan hampir RM120,000 sepanjang dua hari penganjuran pameran berkenaan pada 9 dan 10 April lalu.

Tourism Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan nilai itu membabitkan jualan 2,308 keping tiket, 499 bilik hotel dan lebih 160 kilogram (kg) dodol gula melaka.

Jelas kenyataan itu, di bawah Astaka Tourism Melaka, sebanyak sembilan agensi penggiat pelancongan telah menyertai pameran berkenaan dengan menawarkan pakej penginapan dan produk pelancongan dengan potongan harga sehingga 50 peratus.

“Agensi-agensi yang bersama-sama mempromosikan Melaka adalah Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Zoo Melaka, Bayou Lagoon Park Resort, Hotel Bendahara, Hotel Grand Flora, Hotel Hattens, Amverton Heritage Resort Ayer Keroh dan Dodol Fauziah Karim.

“Pameran ini disertai bertujuan mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan domestik dalam usaha mencapai sasaran kehadiran 5.6 juta pelancong sepanjang tahun ini.

“Penyertaan pameran di MATTA Fair juga memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan 13 sub sektor pelancongan Melaka yang meliputi subsektor sejarah, budaya, rekreasi, sukan, membeli-belah, konvensyen, kesihatan, pendidikan, agro, makan-makan, Melaka: Rumah Ke-2, belia, eko-pelancongan dan pelancongan agama,” kata kenyataan itu.

Selain Astaka Melaka, terdapat beberapa lagi agensi pelancongan Melaka turut menyertai program ini iaitu A’Famosa Resort Melaka, Skytrek Adventure Melaka, Ames Hotel Melaka, 1825 Gallery Hotel dan GL Leisure Travel & Tours.

Untuk rekod, seramai 21,560 pengunjung telah mengunjungi MATTA Fair meskipun diadakan pada bulan Ramadan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1202
Kongsi :
Previous post Hidangan berkonsep masakan air tangan ibu di Restoran Rasa-Rasa Casa
Next post TAJUK UTAMA AKHBAR: 13 APRIL 2022
Ubah saiz-+=