Sorting by

×

MELAKA MAHU WUJUDKAN EKOSISTEM SOKONG TRASFORMASI PERTANIAN MODEN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KLEBANG 19 September – Kerjasama semua pihak berkaitan dan mewujudkan ekosistem yang mampan mampu menjayakan hasrat untuk beralih daripada amalan pertanian konvensional kepada moden yang berteraskan teknologi terkini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, sebagai contoh penggunaan dron dilihat amat membantu dalam mengurangkan kos, menjimatkan masa dan meningkatkan hasil tuaian.

Katanya, dron kini semakin popular dalam aktiviti pertanian di Melaka hingga menjadi idaman setiap petani, namun hasrat untuk memilikinya terbantut berikutan kos perolehan yang dianggap tinggi.

Berikutan itu, beliau berharap Kerajaan Negeri atau kementerian berkaitan dapat menyediakan insentif atau geran bagi membantu petani membeli peralatan moden yang amat membantu dalam usaha meningkatkan lagi hasil pengeluaran makanan tempatan.

“Menggunakan dron, kebergantungan kepada tenaga manusia dapat dikurangkan, masa untuk menabur benih, membaja atau meracun siap dalam masa 10 minit sahaja.

“Teknologi menjadikan proses pengeluaran makanan lebih efisien,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan tapak dan menyaksikan demonstrasi penggunaan dron di kawasan penanaman padi di Taman Rambai Tengah, pada Rabu.

Menurutnya, aplikasi teknologi juga diyakini dapat menarik penyertaan lebih ramai golongan muda atau belia dalam bidang pertanian.

Berkongsi pendapat, Ban Hong berkata, pertanian moden juga boleh dikaitkan dengan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) iaitu dengan memperkenalkan kursus pengendalian peralatan, jentera atau mesin.

“Bagi memperkemaskan lagi usaha ini saya berharap pihak berkaitan dapat menubuhkan satu jawatakuasa bagi menyediakan garis panduan atau syarat penggunaan dron dalam pertanian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

459
Kongsi :
Previous post 36 PETUGAS KESIHATAN DITEMPATKAN DI LOKASI WTD, WTC 2025
Next post WTD 2025 PELUANG TARIK PELABURAN BAHARU KE MELAKA