Melaka mohon tambah 52 JPKK – KM

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

SERI NEGERI 19 Ogos – Kerajaan negeri memohon pertambahan 52 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi membantu melancarkan tadbir urus di peringkat komuniti.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, permohonan itu telah dihantar kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk dipertimbangkan.

Katanya, pertambahan itu penting memandangkan terdapat JPKK di negeri ini yang terpaksa berkhidmat di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi sehingga melebihi 300 buah rumah dan mencapai 1,300 penduduk di satu-satu kawasan.

“Setakat ini terdapat 316 JPKK di Melaka dan jumlah itu lebih rendah berbanding sebelum ini memandangkan terdapat JPKK yang telah dibatalkan oleh kepimpinan terdahulu.

“Ia sekali gus memberi kesan kepada kebolehan mengurus dan mentadbir komuniti dengan lebih efektif dan terancang.

“Kita percaya dengan adanya pertambahan JPKK baharu ini, ia secara tidak langsung dapat membantu pihak Japerun untuk memberi khidmat lebih efektif dan efisien kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah JPKK Negeri Melaka Tahun 2022 di Auditorium Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum dan Exco Kanan Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman serta Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan.

Turut hadir Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh; Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam dan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Dalam pada itu, Sulaiman turut meminta semua JPKK yang dilantik di negeri ini menerapkan sikap kepimpinan terbaik dalam mencapai aspirasi kerajaan mewujudkan Kampung Sejahtera.

Setiap kepimpinan, katanya, perlu mengumpulkan data-data penting mengenai penduduk di kawasan itu selain perlu menjadi lebih kreatif dalam menganjurkan program di kampung-kampung.

“Alhamdulillah, di bawah pentadbiran terbaharu ini saya melihat semua JPKK memainkan peranan dan sentiasa bergerak dalam menganjurkan pelbagai program bersama masyarakat setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1521
Kongsi :
Previous post Bayi lelaki meninggal dunia di rumah pengasuh
Next post Senarai Kampung Sejahtera diketahui sebulan lagi
Ubah saiz-+=