Sorting by

×

Senarai Kampung Sejahtera diketahui sebulan lagi

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

SERI NEGERI 19 Ogos – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjangkakan data kampung yang sedang menjalani transformasi ke arah Aspirasi Kampung Sejahtera bakal diketahui dalam tempoh sebulan lagi.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, data tersebut masih dikumpulkan dan sedang menunggu laporan lengkap daripada negeri-negeri di seluruh Malaysia.

“Dalam kajian yang dijalankan kita dapati banyak kampung yang sudah ke arah Kampung Sejahtera. Cuma peratusannya sama ada sampai atau tidak kriteria yang ditetapkan itu kita masih buat kajian.

“Untuk mencapai tahap Kampung Sejahtera, kampung-kampung ini perlu mempunyai dua elemen yang ditetapkan iaitu infrastruktur dan kepimpinan. Mungkin ada yang kata kampung mereka sudah ada dua elemen ini, tetapi kita juga akan melihat adakah mereka betul-betul sampai tahap yang kita sasarkan.

“Jadi, kita akan menunggu laporan terlebih dahulu daripada negeri-negeri dan insya-Allah dalam sebulan lagi kita akan dapat data dan maklumat lengkap untuk Kampung Sejahtera di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah JPKK Negeri Melaka Tahun 2022 di Auditorium Seri Negeri, hari ini.

Penyerahan watikah kepada 316 JPKK di Melaka telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum dan Exco Kanan Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan; Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh; Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Sebelum ini, KPLB melancarkan Aspirasi Kampung Sejahtera bagi melonjak pembangunan kawasan luar bandar dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat kampung khususnya aspek ekonomi, selain memastikan semua kampung mencapai aspirasi yang dirumus dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu Wawasan Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik menjelang 2030.

Program itu memberi fokus kepada sembilan kriteria termasuk infrastruktur, ekonomi berimpak tinggi, modal insan berdaya maju, kesihatan, kebersihan dan keceriaan, keagamaan dan kerohanian, keselamatan, kepimpinan serta pentadbiran dan budaya inovasi.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, pihaknya kini sedang mengadakan libat urus bersama setiap negeri bagi mendapatkan maklumat sama ada wujud JPKK yang tidak aktif di negara ini.

Katanya, laporan lengkap diperlukan dari setiap negeri memandangkan mereka lebih tahu mengenai pentadbiran dan pengurusan pemimpin setempat di setiap mukim dan daerah di negeri itu.

“Kita perlu berjumpa dengan Ketua Menteri atau Menteri Besar dan Exco yang terlibat selain ia juga memerlukan libat urus di antara Ketua Setiausaha dan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk hal seperti ini dan selepas itu barulah kita akan melihat apa tindakan selanjutnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1471
Kongsi :
Previous post Melaka mohon tambah 52 JPKK – KM
Next post KPLB peruntuk RM176 juta untuk elaun JPKK, JPKKP seluruh negara
Ubah saiz-+=