Bayi lelaki meninggal dunia di rumah pengasuh

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia semasa dalam jagaan pengasuhnya di sebuah kondominium di Taman Cempaka, Ampang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata ketika kejadian, ibu bapa bayi berkenaan sedang bekerja.

Beliau berkata berdasarkan keterangan awal daripada pengasuh yang merupakan wanita warga Indonesia berusia 26 tahun, bayi berkenaan dalam keadaan sesak nafas kerana kain lampin dalam buaian berada di muka bayi itu.

“Bayi berkenaan dibawa ke sebuah klinik di Pandan Indah, di sini sebelum dihantar ke Hospital Ampang. 

“Semasa tiba di hospital berkenaan, bayi itu didapati sudah tidak bernyawa dan bantuan kecemasan diberikan tetapi bayi itu menunjukkan tanda-tanda kematian yang sudah lama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata bayi itu kemudian disahkan meninggal dunia pada kira-kira 6.35 petang.

 

Mohamad Farouk berkata punca kematian bayi itu sedang disiasat dan pengasuh berkenaan ditahan pada 10.30 malam tadi di Hospital Ampang.

Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan permohonan reman wanita tersebut pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan bedah siasat ke atas mayat bayi itu akan dilakukan pagi ini di Hospital Ampang.

Sehubungan itu Mohamad Farouk menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang perbuatan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan ke atas kanak-kanak.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1174
Kongsi :
Previous post Dua rumah kongsi pekerja, kantin musnah dalam kebakaran
Next post Melaka mohon tambah 52 JPKK – KM
Ubah saiz-+=