Melaka nafi tidak telus agih vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 7 Jun – Kerajaan negeri menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa berlaku ketidaktelusan dalam aspek pemberian vaksin di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan atau aduan berlakunya salah laku pemberian vaksin membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti yang didakwa Ketua Pembangkang, Adly Zahari, baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai boleh membuat aduan secara rasmi berserta bukti sekiranya benar wujud salah laku dalam isu pemberian vaksin dan bukannya sekadar berkongsi di media sosial.

“Berhubung perkara itu (tidak telus) saya tiada maklumat, namun demikian saya terima teguran dan akan buat siasatan perkara ini bagi memastikan tidak berulang lagi.

“Orang ramai boleh membuat aduan atau melaporkan kepada saya atau pihak berwajib lain sekiranya benar wujud perkara seperti yang didakwa itu,” katanya.

Sebelum ini, Adly yang juga bekas Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebooknya mengharapkan agar kerajaan negeri menyiasat kaedah pemberian vaksin yang dilaksanakan badan berkaitan kerajaan.

Menerusi hantaran itu, Adly mendakwa terdapat laporan mengatakan vaksin diberikan kepada golongan berkepentingan serta ‘rakan-rakan’ dan bukannya melalui prosedur yang mengutamakan individu yang berisiko terdedah kepada wabak itu.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, pihaknya sedia maklum terdapat banyak aduan yang diterima daripada orang ramai yang kecewa dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang disifatkan bergerak perlahan di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa berhubung aspek pemberian vaksin memandangkan semuanya diatur Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Pemberian Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang mengagihkan bekalan dan melaksanakan pemberian secara berfasa.

“Kekangan kita adalah vaksin itu datang secara berfasa, sama ada dari kerajaan Pusat atau pun daripada luar negara, yang mana perkara itu perlu dirancang dengan rapi.

“Ia termasuk penambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu dirancang selari dengan penerimaan vaksin yang dipohon daripada kerajaan Pusat,” katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai agar bersabar dan tidak melepaskan amarah kepada petugas kesihatan yang sudah bekerja tanpa henti, siang dan malam dalam memastikan kesihatan awam negara terus terpelihara.

“Petugas barisan hadapan bertungkus-lumus 24 jam sehari bagi memastikan pelaksanaan PICK berjalan lancar demi keselamatan rakyat.

“Sama ada di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) atau agensi petugas barisan hadapan lain, kami sampai tidak menang tangan dan bekerja tidak kira bercuti atau sebaliknya bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Mereka tidak minta untuk dipuji, tetapi janganlah disebabkan marah mereka pula dikeji,” ujarnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

502
Kongsi :
Previous post Hospital swasta mula beri suntikan vaksin COVID-19 hari ini
Next post Tidak pakai pelitup muka, sembilan pekerja penghantar barang dikompaun
Ubah saiz-+=