Melaka negeri pertama perkenal ‘drive-thru’ beli sisa makanan

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 27 Februari – Melaka negeri pertama memperkenalkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) yang berperanan membeli kutipan sisa makanan yang dikumpul.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pembukaan DTRC yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Taman Tasik Ayer Keroh itu sekali gus mampu mengurangkan pengumpulan sisa makanan yang dikumpulkan di Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang.

Menurutnya, DTRC yang dikendalikan di bawah syarikat ArusV Greentech M Sdn Bhd itu menawarkan satu pendekatan sistem pandu lalu yang membeli sisa makanan pada harga 10 sen sekilogram.

“DTRC yang diperkenalkan ini adalah yang pertama dibangunkan di Malaysia di mana ia memfokuskan kepada sisa makanan dan ini sekali gus mampu mengurangkan pengumpulan sampah sisa makanan di Melaka di mana sebanyak 230 tan iaitu 30 peratus sisa dikumpul di Sungai Udang adalah daripada sisa makanan.

“Syabas dan tahniah kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan syarikat ini yang bekerjasama untuk menjadikan sebuah syarikat tempatan di Melaka sebagai DTRC di Ayer Keroh ini dan saya berharap ia dapat menjadi contoh untuk dikembangkan ke seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan DTRC ArusV di Taman Perindustrian Taman Tasik Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Low Chee Leong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee; Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Malaysia, Datuk Ahmad Husaini Abd Rahman serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, Rais berkata, DTRC yang diperkenalkan itu mempraktikkan sistem penguraian menggunakan lalat askar hitam (black soldier fly).

Lalat itu ujarnya, akan menghasilkan larva untuk mengurai sisa makanan yang dihantar.

Menurutnya, selain fungsi larva dijadikan sebagai pengurai makanan ia sekali gus mampu memberi nilai tambah kepada industri penternakan dan pertanian di negeri ini.

“Larva yang dihasilkan ini akan menjadi sumber makanan kepada ternakan dan sisa yang terurai ini akan diproses untuk dijadikan baja dalam industri pertanian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

931
Kongsi :
Previous post Bayi 60 hari maut dalam nahas enam kenderaan
Next post TMM2024: Explorace Media bakal jadi tarikan
Ubah saiz-+=