Bayi 60 hari maut dalam nahas enam kenderaan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

JASIN 27 Februari – Bayi lelaki berusia 60 hari maut, manakala tujuh lagi cedera dalam nahas membabitkan enam kenderaan termasuk dua buah lori di Kilometer 184 Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan), di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, bayi berkenaan, Mohamad Sufyan Mohamad Shahizwan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum dibawa ke Hospital Melaka dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, kesemua kenderaan sedang dalam perjalanan menghala ke selatan.

Katanya, kemalangan berlaku apabila sebuah treler yang membawa muatan kereta dipercayai hilang kawalan dan merempuh kereta Perodua Ativa berwarna merah yang dinaiki bayi berkenaan bersama ibu, bapa dan abangnya.

Akibat rempuhan itu, ujarnya, lori berkenaan turut merempuh dua lagi kereta, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lagi lori dari arah belakang.

“Akibat rempuhan itu, bayi berkenaan mengalami kecederaan parah di kepada dan badan dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

“Bagaimanapun, bayi itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.55 petang sewaktu menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, keluarga bayi berkenaan sedang dalam perjalanan dari Putrajaya ke Kluang, Johor untuk mengadakan kenduri akikah di kampung halamannya.

“Sewaktu kejadian bayi berkenaan diletakkan di dalam kerusi bayi di tempat duduk belakang,” katanya.

Ahmad Jamil berkata, pemandu treler telah diambil sampel darah bagi menjalankan ujian kimia dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1696
Kongsi :
Previous post Melaka tawar hadiah RM1.2 juta sempena TMM2024
Next post Melaka negeri pertama perkenal ‘drive-thru’ beli sisa makanan
Ubah saiz-+=