Melaka tawar hadiah RM1.2 juta sempena TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SERI NEGERI 27 Februari – Kerajaan Negeri menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM1.2 juta kepada pegunjung dan pelancong yang datang ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, hadiah itu meliputi sebanyak 12 buah kereta dan 23 buah motosikal yang akan diberikan kepada pengunjung dan pelancong bertuah sepanjang tahun ini.

“Setakat ini kita sudah ada lapan buah kereta dan kita akan cuba lengkapkan 12 buah kereta serta 23 buah motosikal, ini akan kita hadiahkan kepada pengunjung dan pelancong yang datang Melaka.

“Nilai keseluruhan hadiah lebih RM1.2 juta, cabutan nombor bertuah ini akan kita perincikan pada bulan April nanti, bagaimanapun skim yang kita lancarkan sebelum ini masih lagi berjalan seperti biasa.

“Selepas ini kita akan buka peluang kepada semua rakyat Melaka dan Malaysia pula yang datang ke Melaka pada tahun ini untuk bersama menyertai tawaran menarik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Hadiah Cabutan Bertuah TMM2024 oleh Syarikat Archway Mapping Services Sdn. Bhd. di Blok Bendahara di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, V.P. Shanmugam.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen; Pengurus Besar Bahagian Promosi dan Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron; Pengarah Urusan Kumpulan Archway Malaysia, Mohd Ashraf Ahmad dan lain-lain kenamaan.

Pada majlis itu, Ab Rauf menerima sumbangan hadiah cabutan bertuah berupa 20 buah motosikal daripada syarikat Archway Mapping Services Sdn. Bhd. dengan nilai keseluruhan RM100,000.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata sumbangan itu membuktikan syarikat korporat sentiasa menyokong industri pelancongan di Melaka sempena TMM2024.

“Dengan jumlah motosikal diberikan ini kita dapat melihat sokongan daripada pihak korporat untuk membantu merancakkan industri pelancongan di Melaka dan bersama-sama menjayakan program pada tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1143
Kongsi :
Previous post Sivik Ramadan galak umat Islam tingkat amal ibadah
Next post Bayi 60 hari maut dalam nahas enam kenderaan
Ubah saiz-+=