TMM2024: Explorace Media bakal jadi tarikan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERI NEGERI 27 Februari – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bakal menganjurkan Explorace Media sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program julung kali diadakan itu menjadi antara penarik dalam usaha merancakkan sambutan TMM2024 sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, program itu dicadang akan dianjurkan pada Jun depan yang mana kesemua peserta adalah membabitkan pengamal media daripada pelbagai agensi berita seluruh negara.

“Semua agensi media dan berita yang ada dalam negara dijemput menyertai program ini yang dijadual pada Jun depan.

“Program ini bukan sahaja mencipta kelainan, bahkan pelbagai hadiah menarik turut disediakan kepada pemenang Explorace Media sempena TMM2024 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Hadiah Cabutan Bertuah TMM2024 oleh Syarikat Archway Mapping Services Sdn. Bhd. di Blok Bendahara di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, V.P. Shanmugam.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen; Pengurus Besar Bahagian Promosi dan Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron; Pengarah Urusan Kumpulan Archway Malaysia, Mohd Ashraf Ahmad dan lain-lain kenamaan.

Ketua Menteri berkata, selain merancakkan sambutan TMM2024, program itu juga mampu mempromosikan pelbagai destinasi pelancongan menarik yang ada di Melaka memandangkan peserta akan menjelajah ke kawasan pelancongan di seluruh negeri ini untuk melengkapkan tugasan masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3291
Kongsi :
Previous post Melaka negeri pertama perkenal ‘drive-thru’ beli sisa makanan
Next post Malam minggu lebih meriah di Menara Taming Sari
Ubah saiz-+=