
MELAKA PECAH REKOD ONDE-ONDE TERBANYAK, USAHA POPULARKAN KUIH TRADISI
DUYONG 25 Oktober – Melaka berjaya memecahkan rekod baharu negara menerusi penghasilan kuih onde-onde atau Buah Melaka terbanyak.
Rekod itu dicipta di Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka 2025 di Dataran Pengkalan Rama, di sini, hari ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sebanyak 50,000 onde-onde telah dihasilkan oleh kira-kira 500 peserta merangkumi penduduk setempat, Japerun, agensi kerajaan negeri, persatuan chef serta pelajar institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, usaha dilakukan itu bukan semata-mata mahu mencipta rekod, bahkan ia juga bertujuan untuk mempopularkan kembali kuih tradisional yang ada di Melaka dan negara ini.
“Inilah keunikan yang mahu kita bawakan sebagai sebuah negeri pelancongan. Misi utama kita adalah mempopularkan kembali kuih tradisional, khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya selepas menyantuni peserta penghasilan kuih onde-onde di festival berkenaan, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris serta Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Negeri Melaka Ezlina Alias.

Dalam pada itu, Abdul Razak memaklumkan, festival selama tiga hari berakhir esok itu menampilkan pelbagai pengisian menarik kepada orang ramai dengan lebih 30 acara.
Jelas beliau, antaranya adalah Busana By The River, di mana, ia bakal mengumpulkan peserta memakai pakaian tradisional atau kebudayaan di tepi Sungai Melaka dan bakal menerima diskaun 30 peratus untuk menikmati pelayaran Melaka River Cruise.
“Selain itu, banyak lagi acara menarik lain seperti pesta makan durian, pertandingan memancing, Pasar Saloma dan perarakan bot berhias yang akan diadakan di Telok Berembang, Lubok China.
“Acara kemuncaknya akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada malam ini, jadi saya mempelawa semua untuk hadir memeriahkan festival ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


