Melaka perintis aplikasi inventori pokok

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SERI NEGERI 18 Mei – Melaka menjadi negeri pertama melancarkan portal dan aplikasi Mobile Mytrees@Melaka dalam menyelaraskan sistem inventori pokok di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sistem itu bakal memudahkan orang awam membuat aduan mengenai pokok yang sudah uzur dengan hanya mengimbas kod QR.

Menurutnya, sejak 2017 sehingga bulan ini sebanyak 40,174 data inventori pokok telah didaftarkan dalam sistem berkenaan.

“Pelaksanaan inventori ini salah satu amalan pengurusan terbaik bagi pemeliharaan dan pemuliharaan pokok serta pengurusan infrastruktur hijau di Negeri Melaka.

“Diharap sistem ini dapat membantu Kerajaan Negeri untuk menyediakan persekitaran kehidupan yang lebih kondusif dan pada masa yang sama menjaga alam sekitar.

“Saya yakin menerusi usaha ini orang awam lebih mudah untuk membuat aduan mengenai pokok tidak sihat kepada agensi pelaksana terlibat seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka (JPNM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Portal dan Aplikasi Mobile Mytrees@Melaka di Bilik Tun Mutahir, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Abdul Aziz Engan.

Ab Rauf berkata, orang awam boleh mengakses sistem berkenaan menerusi laman sesawang http://mytrees.melaka.gov.my atau menggunakan aplikali telefon pintar yang boleh dimuat turun di ‘google play store’ dan ‘app store’.

“Menerusi laman sesawang berkenaan pengguna boleh melihat peta lokasi, jumlah inventori pokok dan butiran mengenai serapan karbon keseluruhan negeri selain aduan.

“Manakala menerusi aplikasi orang awam boleh melihat jumlah inventori pokok, log masuk, pecahan jumlah inventori pokok mengikut bulan dan tahun, jumlah serapan karbon mengikut kawasan agensi pelaksana, senarai inventori pokok, peta lokasi, imbas kod QR serta ulasan selain aduan pokok.

“Kelebihan kod QR berkenaan pula, orang awam boleh mendapatkan maklumat tentang pokok berkenaan seperti nama, nombor pendaftaran inventori, usia, tarikh daftar inventori, lokasi inventori, koordinat serta nama saintifik tumbuhan itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1102
Kongsi :
Previous post Pulangan lumayan dalam masa enam jam taktik baharu ‘scammer’
Next post Raya luar biasa MCORP bersama rakan strategik
Ubah saiz-+=