Pulangan lumayan dalam masa enam jam taktik baharu ‘scammer’

Masa Membaca:57 Saat

ALOR GAJAH 18 Mei – Pesara syarikat swasta kerugian lebih RM130,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan kripto yang menawarkan pulangan lumayan dalam masa enam jam sahaja.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa berusia 57 tahun mengetahui mengenai tawaran pelaburan itu melalui media sosial ketika berada di rumahnya pada 2 Mei lalu.

Arshad berkata, lelaki berkenaan tertarik dengan skim pelaburan dibacanya itu kerana didakwa menawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh enam jam.

“Berminat dengan tawaran itu mangsa kemudian bersetuju dan mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM1,000 seperti diarahkan pihak pelabur.

“Dia kemudian diarahkan membuat bayaran berikutnya bagi tujuan menambah modal kononnya bagi memperoleh keuntungan yang lebih besar,” katanya.

Jelasnya, pada hari berikutnya  dan sehingga 11 Mei, mangsa melakukan beberapa lagi transaksi ke akaun diberikan pihak pelabur yang secara keseluruhan berjumlah RM132,407.

Menurutnya, mangsa yang curiga berikutan tidak mendapat pulangan pelaburan seperti dijanjikan kemudian tampil ke balai polis untuk membuat laporan Selasa lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati dengan skim pelaburan dalam talian bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2179
Kongsi :
Previous post Lelaki rugi RM50,000 akibat pelaburan Bitfine
Next post Melaka perintis aplikasi inventori pokok
Ubah saiz-+=