Sorting by

×

MELAKA PERMULAAN ‘GAME CHANGER’ KKDW PERKASA PENDIDIKAN ANAK ISTIMEWA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TANJUNG BIDARA 16 Ogos – Melaka menjadi negeri permulaan kepada ‘game changer’ dilakukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperkasa pendidikan anak istimewa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bumi bersejarah dipilih sebagai negeri perintis penubuhan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Tunas Istimewa khusus untuk anak autisme.

Jelas beliau, penubuhan tabika berkenaan adalah selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) dan termaktub dalam Akta Orang Kurang Upaya (Akta 685), sekali gus menjadi platform menggilap potensi dan menyediakan ekosistem yang istimewa untuk mereka.

“Game changer ini dimulakan di Melaka kerana negeri bersejarah ini di mana segala-galanya bermula.

“Oleh sebab itu kita lihat bahawa anak-anak istimewa ini jangan dianggap sebagai bebanan tetapi hikmah yang harus kita fikirkan mereka ini adalah anak-anak syurga yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita untuk kita pelihara dan didik dan juga benar-benar jadikan mereka ahli syurga yang kita harapkan, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS di Tabika Tunas Istimewa, Ayer Hitam Pantai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ahmad Zahid, pada tahun ini, sebanyak 42 game changer telah diperkenalkan oleh KKDW bagi memperkukuh modal insan desa, dengan memberi penekanan kepada pendidikan awal kanak-kanak, kemahiran digital dan sahsiah diri.

Jelas beliau, antara ‘game changer’ lain dilaksanakan KKDW termasuklah Pra-Tahfiz Tabika KEMAS yang memupuk kanak-kanak cintakan al-Quran sekali gus menanamkan rasa sayang kepada agama sejak daripada awal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

958
Kongsi :
Previous post TIGA TABIKA TUNAS ISTIMEWA DI MELAKA, LAMBANG KASIH SAYANG UNTUK ANAK AUTISME
Next post 549 KANAK-KANAK BAWAH 6 TAHUN DI MELAKA DIDIAGNOS AUTISME