Pelancongan

Melaka sasar 5.6 juta pelancong tahun depan, 70 peratus pelancong domestik

MELAKA, 4 Dis – Kira-kira 5.6 juta pelancong disasar berkunjung ke Melaka pada tahun hadapan dengan 70 peratus daripadanya adalah pelancong domestik, kata Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri Sa’ari Basiron.

Beliau berkata justeru kerjasama menerusi kaedah pemadanan perniagaan akan dilaksanakan secara lebih meluas bersama kerajaan negeri di seluruh negara bagi mempromosikan produk dan pakej pelancongan di negeri masing-masing.

“Tumpuan masih diberikan kepada pelancong domestik pada tahun hadapan memandangkan situasi penularan COVID-19 masih membimbangkan terutama terdapat jangkitan melibatkan pelbagai varian baharu dari luar negara.

Jadi kita di Melaka tidak boleh bergerak sendiri untuk merancakkan kembali sektor pelancongan negeri sebaliknya perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak terutama kerjaan negeri lain seperti yang kita lakukan hari ini bersama Perak,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemadanan Perniagaan #TravelPeraklah X Rileks @ Melaka di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Perak Management Berhad Datuk Mohd Kamil Shafie dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Nurmalis Musa.

Mengulas lanjut, Sa’ari berkata pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri Melaka akan bekerjasama dengan beberapa lagi kerajaan negeri lain seperti Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Pahang untuk mempromosikan sektor pelancongan negeri ini menerusi kaedah pemadanan perniagaan.

Beliau berkata purata durasi pelancong bermalam ke Melaka juga disasar sebanyak tiga malam bagi seorang pelancong dalam usaha meningkatkan ekonomi sektor pelancongannya.

Sementara itu, Mohd Kamil berkata Melaka merupakan negeri pertama yang menjadi rakan strategik bagi Negeri Perak menerusi kaedah pemadanan perniagaan bagi mempromosikan sektor pelancongannya.

Beliau berkata sebanyak 30 pemain industri pelancongan dari Perak terdiri daripada pengusaha hotel, taman tema, agensi pelancongan dan inap desa terlibat dalam sesi suai kenal bersama 20 pemain industri dari Melaka untuk menjalin kerjasama.

Katanya selain itu, pemain industri dari Perak juga terlibat dalam Pameran Jom Travel @ Aeon Mall Bandaraya Melaka selama enam hari bermula 30 Nov lepas.

“Usaha ini adalah salah satu pendekatan yang dilakukan untuk merancakkan industri pelancongan Perak dan kerjasama dengan kerajaan negeri lain penting untuk kita mempelajari keistimewaan tempat atau destinasi pelancongan di negeri masing-masing.

“Sebagai contoh, Melaka merupakan salah satu negeri pelacongan yang terkenal di dalam serta luar negara dan kita perlu belajar dari Melaka bagaimana untuk mempertingkatkan sektor pelancongan terutama dari aspek ekonomi,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

42
262837654_197204085945899_6851516394188366117_n Previous post Mayat kanak-kanak reput, berbau ditemui di tebing sungai
242041851_10158165887331237_1561528174134652353_n Next post KKM siasat punca jangkitan kes indeks Omicron – Khairy