Sorting by

×

MELAKA SASAR 88 PERATUS RAKYAT MILIKI RUMAH SENDIRI MENJELANG 2030

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Ogos – Melaka menyasarkan 88 peratus rakyat di negeri ini memiliki rumah sendiri menjelang tahun 2030, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, bagi merealisasikan sasaran itu, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) telah merangka pelan jangka panjang untuk membina sebanyak 41,900 unit Rumah Mampu Milik (RMM) sepanjang tempoh terbabit.

Katanya, Melaka telah diiktiraf sebagai negeri dengan harga rumah purata paling rendah di Malaysia menurut Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dan pengiktirafan itu merupakan indikator kebolehcapaian perumahan rakyat di negeri ini.

“Sehingga suku pertama tahun 2025, harga purata rumah di Melaka adalah sebanyak RM245,067, jauh lebih rendah berbanding purata nasional iaitu RM486,070.

“Setakat Julai 2025, pelaksanaan inisiatif ini berjaya melangkaui sasaran asal apabila sebanyak 56,794 unit Rumah Mampu Milik (RMM) telah dirancang di seluruh negeri.

“Daripada jumlah ini, 16,004 unit telah siap, 19,545 unit dalam pembinaan dan 21,245 unit dalam perancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Ekspo Perumahan dan Hartanah (MAPEX) Negeri Melaka 2025 di Aeon Bandaraya Melaka, di sini, hari ini.

Teks Ucapan beliau dibacakan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin; Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Negeri Melaka, Datuk Ngoh Chun How dan Pengerusi Penganjur MAPEX Melaka 2025 Datuk Sonny Tay Chor Han.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata sebagai tanda cakna dan prihatin kepada golongan B40, setiap pembangunan perumahan melebihi 4.04 hektar (10 ekar) di negeri ini perlu memperuntukkan 10 peratus pembinaan Rumah Kos Rendah (RKR).

“Sehingga kini, sebanyak 751 unit Rumah Kos Rendah telah siap; 1,124 unit sedang dalam pembinaan manakala 1,416 unit masih dalam perancangan.

“Kerajaan Negeri akan terus memacu usaha secara progresif dan menyeluruh bagi memastikan sektor perumahan di Melaka terus berkembang seiring dengan keperluan semasa rakyat sekali gus merealisasikan impian rakyat memiliki rumah menjadi kenyataan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

477
Kongsi :
Previous post PASARAN HARTANAH MELAKA TERUS CEMERLANG, TRANSAKSI CECAH RM6.69 BILION
Next post MELAKA CADANG BERI DISKAUN UNTUK OKU BELI RUMAH