Sorting by

×

MELAKA SEDIA BANTU USAHAWAN BERKEMBANG DENGAN TEKNOLOGI BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

GADEK 15 April – Kerajaan Negeri sedia membantu usahawan tempatan khususnya dalam sektor pertanian untuk mengembangkan penggunaan teknologi baharu sekali gus meningkatkan kebolehpasaran produk.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, dengan adanya penggunaan teknologi baharu itu ia secara tidak langsung membantu usahawan untuk lebih berdaya saing.

Beliau berkata, menerusi lawatan kerja sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek pihaknya mengenal pasti sekurang-kurangnya dua teknologi baharu yang berpotensi diketengahkan dan dimodenkan.

“Antara inovasi yang dilihat mampu pergi lebih jauh ialah penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) dalam penternakan ikan tilapia yang digabungkan dengan kecerdasan buatan (AI).

“Menerusi kaedah ini, penternakan dapat dikendalikan secara automatik apabila sistem berkenaan boleh mengawal pemberian makanan, paras serta kualiti air termasuk tahap pH.

“Untuk itu kita akan mengasuh, mendidik dan membantu sebaik mungkin dalam program-program seperti mentor-mentee misalnya, selain Kerajaan Negeri juga akan mengetengahkan teknologi ini untuk dijadikan bimbingan kepada anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Ziarah Ikon Usahawan Gadek di Agrofarm Sahabat Gadek Enterprise, di Kampung Gadek, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Menurut Ketua Menteri, sekiranya teknologi baharu dapat diketengah dan dimodenkan ia mampu pergi lebih jauh sekali gus menghasilkan produk yang lebih berkualiti.

“Penternakan ayam kampung Saga juga dilihat berjaya mengeluarkan ayam hibrid terbaik dan produk ini boleh diangkat ke pasaran lebih besar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1228
Kongsi :
Previous post TUNAS ILHAM MAIM BANTU ANAK ASNAF LEBIH BERSEDIA DUDUKI UPKK 2026
Next post PROMOSI APRIL LEBIH BERBALOI DI MELAKA WONDERLAND