Sorting by

×

MELAKA SEDIA WARTA PENGHARAMAN VAPE

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SERI NEGERI 23 Julai – Kerajaan Negeri akan mewartakan pengharaman penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape dalam tempoh terdekat di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata kesediaan itu adalah susulan keputusan Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Melaka pada 10 Disember 2015 lalu yang memutuskan penggunaan rokok elektronik sebagai haram.

Katanya, langkah itu adalah berdasarkan kaedah fiqhiyyah berpandukan nas-nas syarak al-Quran dan hadis terkandung dalam maqasid syariah yang menekankan kepentingan menjaga lima perkara asas dalam kehidupan manusia iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

“Penggunaan rokok elektronik ini memudaratkan apatah lagi kita dapati ramai dalam kalangan pengguna merupakan golongan muda dan pelajar sekolah, lebih serius ada  yang menyalahgunakan vape dengan mencampurkan beberapa bahan terlarang yang mengkhayalkan.

“Justeru, kita bersedia untuk membentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan mesyuarat Exco akan datang untuk membolehkan pengharaman itu diwartakan segera serta penguatkuasaan boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata beliau memberi saranan kepada mana-mana individu yang masih menghisap rokok elektronik supaya berhenti.

“Vape ini banyak mengandungi cecair berbahaya, perasa itu sendiri dibuat menggunakan bahan yang memudaratkan serta memberi impak kesihatan,” katanya.

Tindakan Kerajaan Negeri ini dilihat sebagai langkah tegas dan berani dalam melindungi kesejahteraan rakyat, khususnya generasi muda, daripada ancaman tabiat bahaya yang kian menular dalam masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1849
Kongsi :
Previous post 5,000 PENGUNJUNG DIJANGKA MENAIKI ECO CRUISE SUNGAI LINGGI SEPANJANG TAHUN INI