
MELAKA SERIUS GEMPUR TREND VAPE DALAM KALANGAN REMAJA
SERI NEGERI 23 Julai – Trend rokok elektronik atau vape yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja dan pelajar diberi perhatian serius oleh Kerajaan Negeri.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, antara usaha dilakukan Kerajaan Negeri adalah memperbanyakkan program advokasi serta ceramah bahaya rokok dan vape kepada golongan berkenaan bagi memberi kesedaran dan ilmu baharu kepada mereka.
Malah, beliau memaklumkan, penguatkuasaan Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024) yang bermula pada tahun lalu juga turut diperkasa di Negeri Melaka di mana ia turut mengambil tindakan kepada Orang Belum Dewasa (OBD) iaitu individu bawah umur yang telah melanggar kesalahan merokok atau menghisap vape.
“Bagi Negeri Melaka, sepanjang tempoh 2024 hingga April tahun ini, sejumlah 5,234 notis kesalahan dengan nilai tawaran kompaun bernilai RM414,650 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta 852,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Dr. Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Tambah Hee Sem, Kerajaan Negeri juga masih meneruskan Program Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) sebagai satu inisiatif strategik bagi melindungi kesihatan awam daripada bahaya asap rokok dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap impak buruk amalan merokok serta penggunaan produk tembakau alternatif seperti rokok elektronik dan vape.
Jelas beliau, MBAR mula diperkenalkan pada 14 Jun 2011 dengan matlamat menjadikan lokasi tumpuan awam sebagai kawasan larangan merokok, selaras dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) di bawah Akta Makanan 1983.
“Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri dalam menangani beban penyakit tidak berjangkit (NCD) dan menggalakkan persekitaran yang sihat dan selamat untuk semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, wanita mengandung, warga emas dan pelancong.
“Program ini juga meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk remaja dan para pelajar terhadap risiko asap rokok kepada kesihatan diri dan orang sekeliling,” ujar beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.