
MELAKA SERU RAKYAT BERGANDING BAHU PERANGI DADAH
DUYONG 20 Julai – Seluruh rakyat Melaka diseru berganding bahu dalam membanteras penyalahgunaan dadah yang kini menjadi musuh utama negara.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, peranan daripada segenap lapisan masyarakat amat penting dalam usaha pencegahan dadah khususnya membabitkan golongan muda di negeri ini.
Jelas beliau, bertepatan dengan tema ‘Lebih Baik Cegah’ dan mesej ‘Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama’, ia menjadi satu seruan untuk semua pihak agar bersama menggembleng tenaga bagi memerangi ancaman dadah yang semakin meruncing.
“Tugas dan tanggungjawab membanteras dadah bukan hanya di tanggungjawab Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sahaja, tetapi perlu menjadi tanggungjawab setiap lapisan masyarakat.
“Justeru, kempen kesedaran awam pencegahan dadah secara kolektif perlu diperkasakan melibatkan semua lapisan masyarakat baik individu, keluarga, komuniti, sektor swasta, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sosial, pengamal perubatan, pengamal media dan juga ahli politik.
“Kita semua perlu bekerjasama dan berganding bahu memerangi ancaman dadah yang merosakkan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada peluncuran Sambutan Hari Antidadah Peringkat Negeri Melaka 2025 @ Mini Karnival Taman Bandaraya Bukit Serindit bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, di sini, semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, program tersebut berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 6,000 orang peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Pelbagai aktiviti berbentuk kekeluargaan dan warisan turut diadakan termasuk permainan tradisional seperti Teng-Teng dan Sepak Raga Bulatan, serta senaman Tai Chi.
AADK Negeri Melaka turut menyediakan perkhidmatan reruai Mobile Recovery Treatment (MRT AADK) sebagai rujukan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah.
Sebagai usaha memperkukuh kefahaman masyarakat, sesi Pocket Talk turut diadakan bersama ahli Skuad Antidadah Melaka yang menyampaikan mesej penting berkaitan ancaman penyalahgunaan dadah serta kepentingan pembinaan komuniti yang berdaya tahan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.