Melaka tawar jadi tuan rumah sambut 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

BANDA HILIR 8 Januari – Kerajaan Negeri bercadang mahu menjadi tuan rumah dalam penganjuran ulang tahun Jubli Emas ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada 24 Oktober depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, satu surat permohonan telah dihantar kepada Kerajaan Pusat menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyatakan hasrat terbabit agar ia dilaksanakan di negeri ini.

Jelasnya, penganjuran sambutan itu di Melaka sejajar dalam mengembalikan kegemilangan hubungan Melaka dan China yang terjalin sejak 600 tahun dahulu dengan kerjasama diplomatik yang dijalankan antara Laksamana Cheng Ho dan Kesultanan Melayu Melaka.

“Kerajaan Negeri mahu bersama-sama meraikan ulang tahun Jubli Emas ini memandangkan hubungan antara Malaysia-China ini di dalam sejarah negara telah terbentuk sejak begitu lama di mana Laksamana Cheng Ho telah tujuh kali singgah ke Melaka sebelum memulakan pelayarannya ke benua lain.

“Hubungan ini tercatat di dalam buku sejarah antara dua negara dan ia juga telah dilanjutkan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Abdul Razak pada 1974 untuk meneruskan hubungan baharu Malaysia-China

“Melaka mengharapkan agar peluang ini diberikan untuk kita menyorot kembali sejarah kegemilangan hubungan Melaka-China ini, kita harap ia diperkenankan dan Kerajaan Negeri bersedia untuk menerima sekiranya Kerajaan Persekutuan memberikan Melaka sebagai tuan rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Muzium Wangkang Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Kerk Chee Yee; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; dan Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dr. Tan Awang Besar; Pengerusi Muzium Wangkang Melaka, Datuk Ronald Gan; Pengerusi Persatuan Penyelidikan Kebudayaan Xiamen Minnan, Ye Xi Zhi; Pengerusi Cheng Hong Teng Incorporation, Lee Eng Chow dan Pengerusi Jawatankuasa Yong Chuan Tian, Gan Suan Hong.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata pembinaan Muzium Wangkang pertama di Malaysia itu sekali gus mampu menjadi nilai tambah dalam memperkasa hubungan antara Malaysia-China.

Katanya, Perarakan Wangkang di Melaka yang menerima pengiktirafan bersama Wilayah Xiamen,China sebagai Warisan Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) merupakan satu pengiktirafan bermakna bagi negeri ini sekali gus mampu memperkasa sektor pelancongan.

“Pembinaan muzium ini diyakini mampu menjadi antara produk pelancongan baharu di Melaka dan ia boleh dijadikan sebagai pusat rujukan ahli akademik dan pelancongan yang dayang ke negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

862
Kongsi :
Previous post Penyelesaian terbaik selesai kes eksploitasi kanak-kanak
Next post Mayat tanpa kepala, anggota badan bukan Bella, masih kesan identiti
Ubah saiz-+=