Mayat tanpa kepala, anggota badan bukan Bella, masih kesan identiti

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 8 Januari – Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas mayat wanita tanpa anggota badan yang dijumpai di Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, tidak sepadan dengan wanita dikenali sebagai Bella yang dilaporkan hilang, sebelum ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Zainol Samah berkata, susulan penemuan badan manusia disyaki perempuan dalam keadaan bogel pada Ahad lalu, siasatan lanjut kemudian dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa.

“Turut dilakukan perbandingan sampel DNA bersangkut dengan laporan polis Batu Pahat, Johor membabitkan kehilangan Bella atau Mira Sharmila Samsusah yang dilapor sebelum ini dan satu lagi laporan di Gemenceh, Negeri Sembilan.

“Perbandingan sampel dijalankan menerusi ahli keluarga kedua-dua mereka telah dijalankan namun ianya (keputusan DNA) tidak sepadan,” katanya.

Menurutnya, spesimen DNA berkenaan juga turut dihantar ke Bahagian D13, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk semakan dengan kes lain yang dilaporkan sebelum ini.

“Untuk itu siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis bagi mengesan identiti mayat berkenaan bagi membolehkan keluarga mangsa dihubungi.

“Justeru itu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta untuk tampil berkongsi maklumat,” katanya.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan mayat dipercayai wanita tanpa kepala, tangan dan kaki ditemui di dalam longkang di tepi Jalan Besar Alor Gajah Tampin, Kampung Rimau, Pulau Sebang, di sini, 31 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mayat tersebut ditemui orang awam di dalam sebuah tong sampah yang ditinggalkan di dalam longkang berkenaan dalam keadaan hanya tinggal badan dan tanpa seurat benang.

Keadaan mayat itu sudah mereput dan dijangka ditinggalkan dalam tempoh tujuh ke 10 hari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1591
Kongsi :
Previous post Melaka tawar jadi tuan rumah sambut 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China
Next post Penunggang motosikal cedera dihempap pokok
Ubah saiz-+=