Penyelesaian terbaik selesai kes eksploitasi kanak-kanak

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 8 Januari – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mencari penyelesaian terbaik dalam menangani isu kanak-kanak dieksploitasi penjaga bagi mendapatkan sumber kewangan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, penyelesaian itu perlu bagi memastikan nasib anak-anak itu terbela dan dapat menumpukan perhatian penuh pada pelajaran mereka memandangkan mereka masih bersekolah.

“Dengan usia bawah umur mereka tidak sepatutnya berada di luar pada lewat malam dan ia amat tidak sesuai.

“Kita dapati anak-anak ini ada bakat dan boleh menyanyi kita akan cuba berbincang untuk kumpulkan mereka dan letak di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri misalnya atau agensi yang berkaitan.

“Di situ kita akan asahkan lagi bakat mereka untuk menjadi lebih baik dan dalam masa sama mereka boleh bantu juga keluarga,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, tindakan operasi yang dijalankan JKM itu bukan untuk menutup rezeki mana-mana pihak tetapi cuba untuk perbetulkan balik keadaan.

“Ini bukan kejadian pertama bahkan berulang jadi kita cuba untuk perbetulkan balik kerana tidak mahu kes eksploitasi ini berterusan dan berleluasa terutamanya di Banda Hilir.

“Selain kes eksploitasi JKM juga berusaha membanteras aktiviti meminta sedekah atau jual tisu serta gelandangan. Namun apa yang mengejutkan ada di antara peminta sedekah ini adalah penerima bantuan JKM,” katanya.

Jelasnya, JKM sentiasa prihatin dan komited dalam usaha membanteras gejala yang tidak sihat selain operasi akan diteruskan.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan tiga kanak-kanak bawah umur diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri selepas didakwa dieksploitasi untuk menyanyi di kaki lima sehingga berjaya mengutip belasan ribu ringgit sebulan.

Perkara itu terbongkar menerusi Operasi Mengambil Orang Papa, Pengemis, Peleser dan Kanak-Kanak yang dijalankan lebih tiga jam bermula 9 malam pada 6 Januari lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

711
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 6,564 orang
Next post Melaka tawar jadi tuan rumah sambut 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China
Ubah saiz-+=