Melaka tawar pelbagai insentif buat lepasan SPM lanjut pengajian

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER LIMAU 13 Januari – Pelbagai insentif ditawarkan Kerajaan Negeri buat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini untuk melanjutkan pengajian pelbagai bidang di Universiti Islam Melaka (UNIMEL).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, yuran penginapan percuma selama setahun merupakan antara tawaran baharu Melaka buat mana-mana pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke UNIMEL.

Selain itu, kata beliau, insentif berupa RM1,000 menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) sebelum ini juga akan diteruskan kepada anak Melaka yang melanjutkan pengajian ke universiti penuh milik Kerajaan Negeri itu.

“Menerusi inisiatif lain, Kerajaan Negeri memberikan peluang kepada mereka dengan pengecualian yuran penginapan percuma selama setahun dan boleh membayar secara bulanan serendah RM133 sebulan.

“Selain itu, kita juga membuka peluang kepada kepada mana-mana lepasan SPM dari luar Melaka untuk melanjutkan pengajian ke UNIMEL mengikut kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Motivasi Pecutan Akhir SPM Parlimen Masjid Tanah di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Yang turut hadir, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Adun Kuala Linggi, Rosli Abdullah serta tetamu lain.

Program itu disertai seramai 1,165 calon SPM daripada 10 buah sekolah menengah dalam Parlimen Masjid Tanah yang mana kesemua mereka turut menerima sumbangan alat tulis disampaikan Ab Rauf.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan kepada pihak sekolah bagi memastikan kecemerlangan pelajar dapat dicapai.

“Kerajaan Negeri komited mengutamakan pembangunan pendidikan buat anak Melaka khususnya di Parlimen Masjid Tanah supaya pemerkasaan dalam bidang pendidikan ini dapat merealisasikan hasrat Melaka sebagai sebuah Hab Pendidikan di negara ini.

“Saya berpesan kepada pihak sekolah agar melangkah sederap dan bergerak seiring untuk memacu kejayaan pelajar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

711
Kongsi :
Previous post Melaka tambah kuota bina menara telekomunikasi
Next post 23 institusi TVET menanti anak Melaka
Ubah saiz-+=