Melaka tekad musnahkan 10 sarang dadah, sasar penurunan 30 peratus kes menjelang 2025

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 7 Mac – Melaka mensasarkan penurunan 30 peratus bilangan kes penyalahgunaan dan penagihan dadah di negeri ini dalam tempoh empat tahun lagi.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha itu dicapai melalui program Dadah Terkawal 2025 yang diaktifkan melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri dari semasa ke semasa.

Menurutnya, di bawah program itu, 10 kawasan berisiko tinggi (KBT) dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ kes dadah iaitu Krubong, Peringgit, Batu Berendam, Tanjung Kling, Malim, Pernu, Masjid Tanah, Kuala Sungai Baru, Kuala Linggi dan Durian Tunggal.

“Program penghijauan di lokasi terbabit sudah bermula tahun lalu dimana KBT Krubong telah berjaya dihijaukan dan tahun ini kita luaskan usaha yang sama terhadap KBT Masjid Tanah pula,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Beliau ditemui pada program Sesi Lepak Santai Antidadah@Ley Park Station Ayer Keroh bersama Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri Melaka di LeyPark Station dekat Dataran Sejarah di sini.

PENGANJUR program Ley Park Station menerima sijil penghargaan sempena program Lepak Santai Antidadah@Ley Park Station sambil diperhatikan oleh Muhamad Akmal di Dataran Sejarah Ayer Keroh.

Setakat tahun 2020, terdapat 4,855 penagih dadah berdaftar di bawah AADK dengan golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun paling ramai terlibat dengan penyalahgunaan dan penagihan dadah iaitu 2,732 orang; dewasa (lebih 40 tahun 2,045 orang) manakala remaja berusia 13 hingga 18 tahun seramai 74 orang.

Daerah Alor Gajah mencatatkan bilangan kes pengawasan dadah paling ramai iaitu 691 kes dengan Tanjung Bidara dan Kuala Linggi, masing-masing 106 kes; diikuti Melaka Tengah dengan 504 kes dan 368 kes daerah Jasin.

Menurut Muhamad Akmal, kes penagihan dadah di Melaka meningkat setiap tahun dengan purata seramai 521 orang bagi setiap 100,000 penduduk di negeri ini.

“Kita bimbang sekiranya keadaan ini tidak dikawal bilangan mereka yang terlibat akan lebih serius dan dianggarkan 938 orang daripada 100,000 penduduk menjelang tahun 2025 nanti.

“Di sinilah pentingnya kerjasama daripada semua pihak dalam membantu menghijaukan lokasi yang dikenal pasti sebagai KBT ini, kita mahu masyarakat ambil cakna dan tidak semata-mata berharap kepada usaha yang dilakukan oleh AADK dan PDRM sahaja,” katanya.

Katanya, sekiranya masyarakat turut ambil peduli dan bersama pihak berkuasa dalam membendung penularan kegiatan penyalahgunaan dadah, tidak mustahil hasrat Melaka mencapai sasaran Dadah Terkawal 2025 berjaya dicapai.

“Jika kita tidak berbuat apa-apa, jumlah kes dan penagihan dadah akan meningkat, oleh itu, kita perlu gerakkan program Dadah Terkawal 2025 untuk menurunkan 30 peratus kes dadah.

“Kalau kita dapat hijaukan lagi sembilan KBT ini, kita mampu mencapai sasaran menurunkan lebih kes dadah di Melaka dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

580
Kongsi :
Previous post Gagal tunai manifesto? tunggu Jumaat ini – KM
Next post Anugerah Projek/Program Terbaik dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome jadi acara tahunan
Ubah saiz-+=