Gagal tunai manifesto? tunggu Jumaat ini – KM

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Mac – “Dia bukan dalam ‘circle’ (lingkungan) kita dan dia tidak tahu apa yang berlaku dalam negeri Melaka.

“Sebab itulah dia boleh cakap apa yang dia nak cakap saya tak boleh menghalang,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Sulaiman berkata, demikian ketika membidas kenyataan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin, mendakwa kerajaan negeri tidak mampu menunaikan manifesto 100 hari selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Nov lalu.

Mas Ermieyati, didakwa mengeluarkan kenyataan itu ketika berceramah dalam kempen PRN Johor baru-baru ini.

Menurut Sulaiman, kerajaan negeri telah menunaikan 58 inisiatif dalam manfinesto Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh 100 hari selepas mentadbir negeri ini.

“Itu kata orang yang luar daripada kerajaan, ini hanya khabar angin jadi saya tidak mahu komen kerana dia tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di negeri Melaka.

“Sebab itulah mereka boleh cakap apa yang mereka hendak cakap, jadi saya tidak boleh menghalang pun sesiapa nak bercakap, maka cakaplah.

“Tapi apa yang kami tahu, kami sudah laksanakannya yang terbaik, itu janji kita,” tegasnya ketika mengulas dakwaan berkenaan.

Menurutnya, perincian mengenai segala janji dalam manifesto BN sepanjang tempoh 100 hari mentadbir Melaka akan dibentangkan pada Jumaat ini.

“InsyaAllah, hari Jumaat nanti kita akan paparkan 58 inisiatif yang telah kita capai sepanjang tempoh 100 hari seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan ceramah Mas Ermieyati yang menyelar kerajaan negeri dibawah pimpinan Sulaiman, didakwa tidak mencapai kejayaan besar bagi menunaikan manifesto BN dalam tempoh 100 hari.

Malah Mas Ermieyati, mempertikaikan PRN Johor yang berlaku disebabkan tindak-tanduk pemimpin UMNO sendiri.

“Macam dekat Melaka dia (BN) baru melabuhkan tirai 100 hari, dia cakap macam-macam 100 hari manifesto kerajaan BN, tapi apakah kejayaan yang besar BN Melaka dalam tempoh 100 hari?

“Dia tukar bukit St Paul kepada Bukit Melaka, itulah pencapaian yang terbesar dia buat, padahal macam-macam janji nak bantu kehidupan rakyat Melaka, nak bantu nelayan, orang miskin, usahawan, ahli pembangkang, 100 hari tiada apa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

740
Kongsi :
Previous post ‘King’ terbang atas pokok
Next post Melaka tekad musnahkan 10 sarang dadah, sasar penurunan 30 peratus kes menjelang 2025
Ubah saiz-+=