Sorting by

×

MELAKA TERUS ANGKAT AGENDA RAKYAT BERPAKSIKAN PERPADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TANJUNG BIDARA 19 Julai – Agenda rakyat berpaksikan perpaduan akan terus diangkat sebagai tonggak kemajuan Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, di bawah pentadbiran beliau, semangat ‘Ukhwah Teras Perpaduan’ terus disemarakkan bagi melahirkan masyarakat yang harmoni dan saling hormat-menghormati.

Justeru, beliau berharap program berbentuk Minggu Perpaduan akan diperluas ke seluruh negeri, sebagai lambang jalinan erat antara komuniti demi membina masyarakat Melaka yang lebih bersatu, progresif dan inklusif.

“Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik dan menyokong penuh penganjuran program komuniti seperti ini kerana ia menjadi wahana memperkukuh ikatan sosial dalam masyarakat, kita mahu melahirkan masyarakat yang saling menyantuni dan menghargai perbezaan.

“Dalam hal ini, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Komuniti Rukun Tetangga (KRT) memainkan peranan yang cukup signifikan sebagai ejen penghubung antara rakyat dan kerajaan serta sebagai pemudah cara dalam mengekalkan keharmonian dan perpaduan kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Minggu Perpaduan anjuran KRT Pengkalan Balak dengan kerjasama JPKK Pengkalan Balak di Kedai Makan Mak Jah Seri Pantai, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Menteri, program selama tiga hari itu padat dengan pelbagai pengisian antaranya, pemeriksaan kesihatan percuma, program kerohanian, sukaneka, acara sukan, hinggalah ke pertandingan mewarna.

Menariknya, beliau memaklumkan, program berteraskan komuniti itu memberi ruang dan peluang untuk segenap lapisan masyarakat turut serta, sekali gus menterjemah kekuatan akar umbi serta menzahirkan nilai kemuafakatan yang melangkaui batas kaum, agama dan budaya.

“Saya cukup teruja dan berbangga melihat semangat luar biasa lebih 200 orang penduduk yang hadir dan turut serta dalam program ini. Inilah semangat komuniti yang kita dambakan, bersatu hati dan saling menyokong,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

411
Kongsi :
Previous post MPHTJ SELESAI 94 PERATUS ADUAN RAKYAT
Next post ‘RIUH’ DI TAMAN BANDARAYA BUKIT SERINDIT